446,219 PATI diusir sejak 1990
KOTA KINABALU, SELASA, 29 Januari, 2013: Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat masalah pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah hari ini diberitahu 446,219 pendatang tanpa izin di negeri ini telah diusir antara 1990 sehingga semalam.
Pengarah Pasukan Petugas Khas Persekutuan Sabah dan Labuan, Datuk Suhaimi Mohd. Salleh berkata, mereka terdiri daripada warga Filipina, Indonesia dan lain-lain warganegara.
Saksi kelima yang dipanggil semula memberi keterangan pada prosiding hari keenam itu berkata, pada Januari tahun ini sahaja, 870 pendatang tanpa izin diusir ke negara masing-masing.
Kepada soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, saksi itu berkata, sehingga semalam 3,741 pendatang tanpa izin dari Filipina, Indonesia dan lain-lain warganegara ditahan di tiga Pusat Tahanan Sementara (PTS) di bawah seliaan Pasukan Petugas Khas itu.
Beliau berkata, 1,899 pendatang tanpa izin ditahan di PTS Papar, PTS Sibuga (683) dan 1,159 di PTS Tawau.
Suhami berkata, pasukan itu membelanjakan RM72 juta bagi menjalankan aktiviti di skim-skim penempatan di negeri ini sejak 1990 hingga sekarang.
Saksi itu juga diminta menjelaskan peranan Pasukan Petugas Khas itu antaranya bertanggungjawab ke atas pendaftaran pendatang luar negeri di Sabah dan Labuan.
Beliau berkata, pasukan itu juga mempunyai kuasa untuk menangkap dan menahan pendatang tanpa izin yang tidak mempunyai sebarang dokumen manakala pengusiran dilakukan oleh Jabatan Imigresen.
Katanya, pasukan itu juga terlibat dalam memberikan dokumen iaitu sijil banci kepada pelarian Filipina di skim penempatan, yang datang ke Sabah kerana peperangan di negara mereka.
Beliau berkata, pelarian yang diberikan sijil banci ini mesti memegangnya pada setiap masa dan ia boleh digunakan untuk memohon kad IMM-13 iaitu dokumen sementara.
Seorang warga Pakistan Parvez Khan Hussein Khan dalam keterangannya berkata, beliau ada membayar RM330 kepada seorang kawannya yang bernama 'Ikram' yang didakwanya meninggal dunia bagi mendapatkan kad pengenalan (IC).
Parvez yang datang ke Sabah pada 1992 dan berkahwin dengan rakyat Sabah bersetuju bahawa IC birunya itu mempunyai masalah kerana dia memperolehnya dari 'Ikram' bukannya dari JPN.
Saksi ke-31 Nur Mohd. Ibrahim yang lahir di Tamil Nadu, India, dalam keterangannya berkata, dia membuat sendiri permohonan bagi mendapatkan IC tanpa pertolongan mana-mana pihak.
Nur Mohd. yang datang ke Sabah pada 25 Mac 1981 berkata, selepas enam tahun tinggal di negeri itu pada 1987, dia memperoleh IC biru selepas dua kali memohon dengan sokongan surat akuan sumpah tetapi tidak ingat siapa yang menandatanganinya.
Saksi ke-32, Sofian Mohamat, yang berbangsa Kadazan pula memberitahu bahawa ada seorang Pakistan memintanya membayar RM1,000 bagi mendapatkan sijil lahir untuk tiga anaknya.
Sofian yang berkahwin dengan warga Islam Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri itu berkata, dia membayar wang itu tetapi dia tidak diberikan sijil lahir.
Katanya, anaknya tidak mempunyai sijil lahir kerana beliau tidak mendaftarkan perkahwinannya dengan Majlis Agama Islam Sabah, selain isterinya tidak mempunyai sebarang dokumen.
Sementara itu, Deputi Supritendan Badaruddin Ismail, bekas pegawai cawangan khas, Bukit Aman yang menemuduga bekas Ketua Pengarah JPN Sabah, Ramli Kamarudin, berkata, Ramli memberitahunya motif dia mengeluarkan resit permohonan IC baru dan hilang adalah untuk kepentingan dirinya.
"Menurut pendedahan beliau (Ramli) wang itu untuk dia sendiri, yang saya masih ingat setiap resit yang dikeluarkannya, beliau dapat RM250 bagi setiap resit. Motifnya untuk keuntungan diri sendiri untuk dapat duit," katanya.
Badaruddin yang kini bertugas sebagai pegawai turus di cawangan khas, Ibu Pejabat Polis Kelantan sejak 2009 berkata, jumlah keuntungan yang diperoleh Ramli yang ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) adalah lebih daripada RM1 juta.
Saksi itu berkata, semasa menemuduga Ramli berhubung pengeluaran IC itu pada tahun 1996, Ramli mendedahkan kepadanya bahawa dia mengeluarkan 16,000 resit sementara itu kepada PATI Filipina, India, Pakistan dan sebagainya.
Turut memberi keterangan hari ini ialah Ketua Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ibrahim Zakaria yang menemuduga bekas ketua pengarah JPN Sabah, Datuk Abdul Rauf Sani.
Perbicaraan di hadapan panel lima anggota yang dipengerusikan bekas Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong itu bersambung esok. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment