My Add

Thursday, 31 January 2013

Penggerak ekonomi global

Oleh METRA SYAHRIL MOHAMED

 *NAJIB Tun Razak melihat replika bangunan Four Seasons Place pada majlis pelancaran Four Seasons Place di Jalan Ampang, Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Syed Mohd. Yusof Tun Syed Nasir. - utusan/FAUZI BAHARUDIN

KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan berhasrat untuk meletakkan negara sebagai nadi penggerak kepada infrastruktur ekonomi global abad ke-21.

Menurut Perdana Menteri, selaras dengan itu, kerajaan berikrar untuk memacu negara sebagai nadi pasaran dunia yang kukuh selain memiliki sumber kewangan stabil dan kelestarian pembangunan.

"Kita juga mahu menjadi jambatan dalam merapatkan jurang antara dunia barat dan timur. Hasrat-hasrat ini bersandarkan kepada kejayaan program-program transformasi khususnya Program Transformasi Ekonomi (ETP).

"Tahun lalu, kita menyaksikan lebih ramai pelabur memberikan fokus kepada Bursa Kuala Lumpur dan tertarik dengan tawaran awam permulaan (IPO). Sejumlah AS$7.3 bilion (RM22.5 bilion) diperolehi sepanjang sesi IPO manakala pasaran saham ditutup lebih tinggi sehingga 10 peratus berbanding 2011," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan projek pembangunan Four Seasons Place di Jalan Ampang di sini malam ini.

Majlis pelancaran itu turut diserikan dengan keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Four Seasons Place yang turut merangkumi Four Seasons Hotel Kuala Lumpur merupakan pembangunan integrasi pertama di Asia Tenggara dan diuruskan oleh Four Seasons Hotel & Resorts.

Pembangunan itu mengandungi ruang niaga mewah, 231 bilik hotel serta kediaman mewah.

Four Seasons Place dijangka siap pada 2017 dan bakal menjadi mercu tanda baharu berhampiran Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Projek berkenaan merupakan usaha sama antara Sultan Selangor; Pengerusi Venus Assets Sdn. Bhd., Tan Sri Syed Yusof Tun Syed Nasir dan dua individu lain.

Najib memberitahu, berdasarkan matlamat ETP, program transformasi itu meletakkan sasaran pendapatan kasar negara kepada AS$530 bilion (RM1.63 trilion) menjelang 2020 dan menjadi negara berpendapatan tinggi.

"Selaras dengan itu, kita mahu merancakkan kemasukan pelaburan asing selain meningkatkan permintaan domestik. Oleh itu, transformasi itu juga mampu menjadikan Malaysia berdaya saing dalam rangkaian global dan menjadi lokasi menarik pelabur serta pelancong," tambahnya.

Terdahulu dalam majlis sama, Sultan Sharafuddin dan Najib menyaksikan majlis menandatangani perjanjian antara Venus Assets Sdn. Bhd. dan Four Seasons Hotels & Resorts Asia Pacific Pte. Ltd. sebagai kerjasama membangunkan projek Four Seasons Place Kuala Lumpur. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment