My Add

Wednesday 30 January 2013

SYABAS serbu pawagam buat sambungan air haram

 KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013: Sebuah pawagam di Jalan Raja Laut di sini dikesan menjalankan kegiatan mencuri bekalan air dari paip utama Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), membabitkan kerugian RM221,748.

Syabas dalam satu kenyataan berkata, berikutan aduan yang diterima pada 21 Disember lalu, satu operasi membanteras sambungan haram di lokasi berkenaan dilakukan hari ini.

"Premis itu turut menjalankan beberapa perniagaan lain seperti pusat Internet, snuker serta perkhidmatan cuci kereta. Kesemua perniagaan itu dipercayai dikendalikan oleh sebuah syarikat sama," kata SYABAS.

Semakan menunjukkan pawagam itu mempunyai akaun bekalan air dengan SYABAS yang didaftarkan atas nama syarikat berkenaan, namun ia ditamatkan sekitar Julai 2012.

"Berikutan penyambungan tidak sah yang dibuat dari paip utama, Syabas menganggarkan kerugian air terawat yang tidak direkodkan penggunaannya adalah selama 195 hari dengan kerugian RM221,748.70," kata syarikat bekalan air itu.

SYABAS akan mengeluarkan notis tuntutan ganti rugi manakala Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara akan membuat tuntutan sivil ke atas pihak yang melakukan kesalahan itu.

Dalam pada itu, SYABAS berkata, sepanjang tahun lalu, 730 kes curi air sahih direkodkan dengan anggaran tuntutan ganti rugi keseluruhan yang dituntut syarikat itu berjumlah RM6.72 juta. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment