My Add

Wednesday 30 January 2013


10,000 penduduk nikmati faedah Klinik Kesihatan Padang Luas

BESUT, SELASA,, 29 Januari, 2013: Kira-kira 10,000 penduduk dari tujuh kampung dan beberapa taman perumahan akan mendapat faedah rawatan kesihatan lebih baik dengan pembukaan Klinik Kesihatan Padang Luas yang terletak di kawasan utara Besut mulai pertengahan bulan depan.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr. Anwa Sulaiman berkata, klinik bernilai RM18 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk mempunyai perkhidmatan pesakit luar, kecemasan, ibu mengandung dan kanak-kanak, klinik pergigian, makmal dan kemudahan X-ray.

Katanya, dengan pembukaan klinik kesihatan kelas 3 itu nanti, daerah Besut akan mempunyai lima klinik kesihatan selain Kuala Besut, Kampung Raja, Pasir Akar dan Jerteh.

"Klinik Kesihatan Padang Luas tersebut akan dibuka sepenuh masa mengikut hari bekerja kecuali jabatan kecemasan yang dibuka selama 24 jam setiap hari," katanya kepada media di sini hari ini.

Dr. Anwa berkata, di peringkat awal empat pegawai perubatan akan ditempatkan di klinik berkenaan sebelum bilangannya ditambah bagi memenuhi kuota 12 pegawai perubatan.

Antara penduduk kampung yang mendapat faedah daripada pembukaan klinik itu ialah dari Kampung Lak Lok, Kampung Tok Motong, Kampung Padang Landak, Kampung Air Terjun, Kampung Seberang jerteh, Kg Alur Selising, Kampung Padang Luas dan beberapa Taman Perumahan di persekitarannya.

Klinik yang dilengkapi kuarters kakitangan itu mampu memberi rawatan kepada 500 pesakit sehari. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment