MELBOURNE, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Seorang warga Malaysia dan seorang warga Taiwan yang memandu berasingan masing-masing menuju ke sebuah ladang jagung di Queensland, maut selepas kenderaan mereka terjunam ke dalam sungai yang melimpah di Lockyer Valley, awal pagi Ahad lalu.
Andrew Leong, 34, dari Subang Jaya, Selangor dan Pan Yukun, 25, dari Taiwan memandu melintasi Sandy Creek berhampiran Gatton, beberapa minit sebelum anak sungai itu melimpah, dalam tragedi berganda yang menjadikan jumlah kematian kepada enam orang, akibat banjir di Queensland.
Mayat Leong ditemui di dalam keretanya selepas ditarik keluar dari Sandy Creek, menurut laporan akhbar The Australian.
Inspektor Polis Queensland, Richard Kroon, berkata tidak dapat dipastikan sama ada kereta itu dipandu berturutan, atau sama ada kedua-dua kenderaan itu memasuki anak sungai itu pada waktu berbeza, namun pemandunya gagal menyedari bahaya sehinggalah keadaan sudah terlambat.
Kroon memberitahu akhbar berkenaan tambak itu terkenal sebagai kawasan banjir kilat, yang memang dimaklumi penduduk setempat, namun mungkin tidak kepada pekerja asing yang menuruni kawasan itu untuk memetik buah-buahan dan sayur-sayuran.
"Aliran air di situ agak deras," katanya. "Saya rasa ini mungkin andaian yang munasabah, bahawa mereka yang tidak biasa dengan kawasan ini, mungkin akan berdepan satu kejutan.
"Hujung minggu lalu, hujan lebat mencurah-curah membasahi Lockyer Valley, mengingatkan penduduk setempat kepada banjir besar yang melanda wilayah ini pada Januari 2011, mengorbankan 19 orang," katanya.
Dalam tempoh 10 jam sebelum Leong dan Yukun memulakan perjalanan masing-masing, Sandy Creek, anak sungai yang lazimnya tenang dan aman dengan aliran air perlahan, tiba-tiba meningkat hingga ke paras 3.2 meter. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment