My Add

Thursday 31 January 2013

Dadah bernilai RM100,000 dirampas di Kuala Perlis

KANGAR, KHAMIS, 31 Januari, 2013: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perlis merampas 1,744.5 gram dadah termasuk 1,725 gram disyaki ketamin dan 19.5 gram disyaki heroin yang dianggarkan bernilai RM100,000 di sebuah rumah di Kuala Perlis, semalam.

Turut ditahan ialah lima lelaki termasuk seorang pelajar sebuah pusat pengajian tinggi swasta di Kampung Tandiap, Seberang Ramai kira-kira jam 4.45 petang.

Ketua Polis Negeri, Superitendan Asisten Zull Aznam Harun, berkata rampasan dan tangkapan itu dibuat hasil intipan kira-kira sebulan berdasarkan maklumat tentang kegiatan mengedar dadah di sekitar negeri ini dan di luar Perlis.

Beliau berkata, selain pelajar berkenaan, yang lain tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh membawa kepada hukuman gantung mandatori.

Zull Aznam berkata, empat dari suspek didapati positif morfin sementara seorang lagi positif methamphetamine.

Polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,160 dan empat telefon bimbit yang semuanya disyaki hasil dari jualan dan aktiviti dadah. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment