My Add

Wednesday 30 January 2013

Pelaburan AIM 2012 bawa hasil positif - Najib

PUTRAJAYA, SELASA, 29 Januari, 2013: Perdana Menteri menyifatkan pelaburan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) sepanjang tahun lalu berjaya membawa impak positif dalam menjana kekayaan untuk negara menerusi agenda inovasi kebangsaan.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pelaburan berpotensi itu telah mewujudkan peluang pekerjaan baru dan menggalakkan budaya inovasi dalam kalangan rakyat yang boleh dibahagi pada tiga bidang utama iaitu inovasi intelek, perniagaan dan sosial.

"Dalam inovasi intelek, AIM telah bekerjasama dengan industri berteknologi tinggi dalam bidang penyelidikan sel stem, kaedah rawatan injap jantung tanpa pembedahan terbuka dan sistem visualisasi autopsi digital.

"AIM telah mendapat kelulusan kerajaan untuk melabur dalam KLSMC Stem Cells Sdn. Bhd. yang mengusahakan sel-sel stem merah dalam rawatan tulang rawan dan teknologi itu dipaten di Amerika Syarikat (AS) serta diiktiraf sebagai teknologi terkini bertaraf dunia," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan laporan AIM 2012 di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Yang trut hadir Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa dan Ketua Pegawai Eksekutif AIM, Mark Rozario.

Najib berkata, AIM telah melabur dalam Mandil Medical Inc. (Mandil Medical) untuk teknologi merawat masalah injap jantung tanpa pembedahan terbuka.

Beliau berkata, Mardil Medical telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Institut Jantung Negara (IJN) hari ini untuk membangunkan sebuah Pusat Kecemerlangan Mardil Asia-Pasifik di Malaysia.

"Pelaburan dalam I-Gene Sdn. Bhd. pula adalah untuk mempelopori bidang autopsi digital visualisasi perubatan 3D," katanya.

Menyentuh inovasi Perniagaan, beliau berkata, usaha AIM dalam Strategi Biomas Nasional 2020 telah mendapat galakan melalui penubuhan tiga buah kilang pemprosesan biomas kepada pelet bahan api bagi kegunaan penjana tenaga.

Katanya, pelaksanaan strategi ini berpotensi menjana RM30 bilion kepada pendapatan negara dan juga membantu mewujudkan 66,000 peluang pekerjaan baru.

"Di samping itu, AIM akan bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam membangunkan syarikat peringkat pertengahan melalui penubuhan satu tabung Kerjasama Awam Swasta bernilai RM210 juta," katanya.

Beliau berkata, program Duta Inovasi Genovasi yang dilancarkan pada 1 Ogos lalu untuk melahirkan 5,000 duta inovasi dalam masa lima tahun akan bermula dengan pengambilan pertama pelajar seramai 128 orang.

"Projek i-THINK kini dilaksanakan di 1,000 buah sekolah di seluruh negara setelah berjaya melalui program perintis di 10 buah sekolah pada tahun lalu.

"Projek yang menggunakan lapan peta minda bagi menggalakkan inovasi, kolaborasi dan eksplorasi di kalangan pelajar itu akan diperluaskan ke 10,000 buah sekolah menjelang tahun 2014," katanya.

Beliau berkata, program Cabaran Genovasi pula adalah inisiatif AIM untuk menarik minat seluruh lapisan masyarakat dalam mencari jalan penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi oleh rakyat dengan ganjaran wang tunai sebanyak RM100,000.

"Cabaran tersebut bertujuan mengajak rakyat menyumbang idea dan tenaga mencari jalan yang berkesan dalam menjayakan matlamat dan wawasan negara," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment