My Add

Wednesday 30 January 2013

Kerajaan sedia rombak undang-undang perkasa golongan wanita

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Januari, 2013: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan sedia merombak sebarang undang-undang, amalan dan corak pemikiran yang dilihat menghalang wanita untuk lebih maju dalam pasaran ekonomi serta sektor berkaitan, bersesuaian dengan keupayaan mereka.

Perdana Menteri berkata, perubahan itu selari dengan dasar kerajaan dalam memperkasakan wanita, dengan mengambil kira keperluan golongan itu dari semasa ke semasa.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan mengalu-alukan sebarang cadangan dalam usaha membangunkan wanita termasuk daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

"NCWO boleh buat cadangan kertas kerja kepada kerajaan untuk kita pertimbangkan dan saya jamin ia tidak akan memakan masa tujuh tahun, kerana jika ada cadangan yang baik, tidak perlu kita tunggu lama," katanya ketika berucap melancarkan sambutan Jubli Emas NCWO di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala; Menteri Pelancongan, Datuk Seri Dr. Ng Yen Yen dan Presiden NCWO, Prof. Tan Sri Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Najib yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, walaupun wanita menyumbang sebanyak 46 peratus tenaga kerja negara, kebanyakan mereka berpendapatan di bawah RM3,000 sebulan.

Beliau turut berharap golongan wanita dapat memberi nilai tambah kepada majikan masing-masing dengan menguasai lebih banyak kemahiran seperti dalam bidang teknologi maklumat dan inovasi.

Mengambil contoh amalan sektor awam katanya, kerajaan memperuntukkan 30 peratus jawatan utama sektor tersebut kepada wanita berkelayakan sebagai mengiktiraf peranan mereka.

"Dalam agenda pembangunan negara, kerajaan menyedari bahawa wanita merupakan aset yang amat penting kepada negara, maka kita sentiasa memikirkan bagaimana kita boleh memperkasa peranan wanita sama ada dalam bidang ekonomi, sosial mahupun politik," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment