My Add

Thursday 31 January 2013

Malaysia perlu agresif dalam promosi produk di Bahrain

MANAMA, RABU, 30 Januari, 2013: Malaysia perlu lebih agresif dalam mempromosi produknya di Bahrain untuk mengimbangi lebihan dagangan yang kini memihak kepada negara kepulauan ini.

Duta Malaysia ke Bahrain, Datuk Ahmad Shahizan Abd. Samad berkata, perdagangan dua hala setakat November tahun lepas berjumlah AS$290 juta (RM873 juta) dengan eksport Bahrain ke Malaysia bernilai AS$220 juta (RM662 juta) manakala eksport Malaysia ke Bahrain hanya bernilai AS$60 juta (RM181 juta).

Eksport utama dari Bahrain ialah aluminium, bijih dan tembaga manakala eksport Malaysia ialah makanan diproses, perabot serta barangan elektrik dan elektronik, katanya kepada pemberita dalam satu wawancara.

Ahmad Shahizan berkata, minyak sawit Malaysia masih belum berjaya memasuki pasaran di sini manakala Petronas juga tidak menyertai industri minyak dan gas negara teluk ini.

Beliau menyarankan agar Petronas dan syarikat-syarikat Malaysia yang lain menggunakan Bahrain sebagai platform untuk mengembangkan perniagaan mereka dalam pasaran negara-negara teluk, terutamanya Arab Saudi yang kaya dengan minyak.

Kata beliau, perniagaan Malaysia boleh memanfaatkan kelebihan Bahrain sebagai negara yang paling mudah dijadikan tapak untuk menjalankan perniagaan di Timur Tengah dan untuk meneroka rantau ini, terutama Arab Saudi.

"Ada banyak peluang bagi Bahrain menjadi hab di rantau teluk dan Utara Afrika," katanya.

Ahmad Shahizan juga menyentuh tentang perlunya perjalanan udara di antara kedua-dua negara ditambah baik termasuk menyambung semula penerbangan terus dari Malaysia ke Bahrain berikutan penggantungan perkhidmatan terus Gulf Air ke Malaysia pada Mac tahun lepas.

Duta itu berkata, beliau berhasrat untuk membincangkan perkara itu dengan kerajaan Bahrain dan meyakinkan pihak-pihak berkuasa untuk menyambung semula penerbangan terus syarikat penerbangan nasional negara itu ke Malaysia.

Malaysian Airline System Bhd. juga disarankan untuk mempertimbangkan perkhidmatan yang sama untuk mengekalkan kemudahan perjalanan di antara kedua-dua negara.

Mengenai pembangunan pelaburan Malaysia di Bahrain, beliau berkata, pada masa ini ada beberapa syarikat Malaysia yang beroperasi di Bahrain dalam perkhidmatan kewangan Islam dan pembinaan serta sektor tenaga.

Antaranya, Maybank dan CIMB telah mengadakan operasi di sini, masing-masing pada 2002 dan 2007 untuk menyertai sektor perkhidmatan kewangan negara ini.

Dalam sektor pembinaan, kata beliau, Chase Perdana Sdn. Bhd. sedang membina 3,000 hingga 5,000 unit perumahan rakyat di Bahrain manakala Malakoff Corp. Bhd. bertapak kukuh dalam sektor tenaga melalui anak syarikat milik 40 peratusnya, Hidd Power Company BSC.

Beberapa pelabur dari Malaysia juga akan menubuhkan perniagaan masing-masing di negara ini tidak lama lagi dalam sektor pelayanan, pendidikan dan pengurusan sisa buangan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment