Persamaan budaya, seni Malaysia-Indonesia elemen penting - Rais
*DR. RAIS Yatim menyampaikan cendera hati kepada Octo Lampito (kiri) pada Majlis Makan Tengah Hari di Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan di Kuala Lumpur, hari ini. Program Lawatan Pertukaran Wartawan Malaysia-Indonesia ini diadakan selama enam hari bertujuan untuk merapatkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Januari, 2013: Persamaan kebudayaan dan kesenian Malaysia-Indonesia dilihat mampu menjadi elemen penting dalam mengeratkan hubungan rakyat kedua-dua negara, kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim.
Untuk merealisasikan hasrat itu, katanya, kedua-dua negara perlu bekerjasama dengan memberi tumpuan kepada aspek penerangan dan komunikasi supaya persamaan itu dapat difahami rakyat.
"Hubungan kerajaan Malaysia dengan Indonesia sudah berjalan begitu baik tetapi hubungan sesama masyarakat belum lagi sampai ke tahap yang tinggi pencapaiannya.
"Telah terbukti juga aspek politik semata-mata tidak mampu menyatukan Malaysia-Indonesia dan antara seluruh Kepulauan Nusantara ini, tetapi melalui kebudayaan, saya yakin akan mendapat tempat dan kita akan jelmakan kepada beberapa bidang kerjasama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari bersama empat wartawan kanan dari Indonesia yang mengikuti Program Lawatan Pertukaran Wartawan Malaysia-Indonesia di pejabatnya di sini, hari ini.
Mereka ialah Ketua Pengarang JOGJATV, Andhi Wisnu Wicaksono; Pemimpin Redaksi (Ketua Pengarang) Akhbar Kedaulatan Rakyat, Octo Lampito; Pemimpin Redaksi Jurnal Nasional, Wahyudi M. Pratopo; dan Editor Pelaksana Koran Jakarta, Suradi; yang tiba di Malaysia Ahad lalu.
Turut hadir Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman dan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datuk Yong Soo Heong. Program julung kali selama enam hari itu, anjuran Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, bertujuan memperkukuh hubungan media massa dan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Mengenai program itu, Rais berkata, pihaknya menyokong aktiviti yang menyumbang kepada keharmonian rakyat kedua-dua negara termasuk menyemarakkan lagi hubungan Malaysia-Indonesia menerusi Yayasan Ikatan Rakyat Malaysia-Indonesia.
Sementara itu, Octo berpendapat penyertaannya dalam program itu memberi gambaran lebih jelas mengenai beberapa isu membabitkan Malaysia-Indonesia.
"Melalui wawancara yang saya jalankan dengan pihak kedutaan dan rakyat Indonesia yang bekerja di Kuala Lumpur, didapati memang ada beberapa isu namun ia tidak pernah menjadi masalah kepada mereka.
"Justeru adalah penting buat kami selaku pengamal media di Indonesia untuk menyebarkan informasi yang sebenarnya kepada rakyat di sana seterusnya meluruskan hubungan Malaysia-Indonesia," katanya.
Terdahulu, empat wartawan kanan Indonesia itu melawat Wisma Bernama bagi melihat dengan lebih dekat operasi, tugas, tanggungjawab dan peranan agensi berita nasional itu sebagai sumber berita utama negara. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment