My Add

Wednesday 30 January 2013

Guan Eng pandang rendah keupayaan wartawan

GEORGETOWN, RABU, 30 Januari, 2013:: Tindakan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang dilaporkan hanya akan mengeluarkan kenyataan bertulis kepada sebuah akhbar harian tempatan berbahasa Inggeris menunjukkan beliau memandang rendah keupayaan wartawan.

Lim kini enggan menjawab soalan wartawan dari akhbar The Star atas alasan akhbar itu membuat laporan yang tidak tepat mengenai isu penggunaan nama negeri Pulau Pinang dalam penganjuran sesuatu program atau acara oleh pertubuhan bukan kerajaan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Teng Chang Yeow, berkata tindakan Lim itu seakan-akan memandang rendah keupayaan wartawan dalam melaporkan kenyataan pemimpin-pemimpin yang dibuat secara lisan.

"Jika berlakunya laporan yang tidak tepat, itu bermakna kemampuan untuk berkomunikasi lemah dan kita tidak mampu untuk menyampaikan maklumat dengan betul," katanya.

Teng berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insentif pelajar cemerlang Penilaian Menengah Rendah dan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) kepada kira-kira 387 orang daripada sekolah-sekolah di kawasan Timur Laut, di sini hari ini.

Katanya pilihan perkataan yang digunakan itu mungkin disalah tafsir oleh wartawan dan terpulang kepada pemimpin untuk menerima laporan yang dibuat dengan hati terbuka.

Sementara itu, Teng berkata program insentif pelajar cemerlang PMR dan UEC itu adalah inisiatif BN Pulau Pinang yang sedar dengan peningkatan kos
pembelajaran selain menggalakkan pelajar untuk terus tekun berusaha. 

Program seumpama itu adalah pertama kali dilancarkan hasil kerjasama antara BN negeri dan pihak swasta termasuk badan korporat dan pemaju di Pulau Pinang yang memberi sumber kewangan.

Teng berkata program ini akan diteruskan dan diperluaskan kepada pelajar Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia bergantung kepada penaja-penaja yang terlibat.

Sebanyak RM400,000 diperuntukkan untuk program ini yang melibatkan kira-kira 2,340 pelajar. Setiap pelajar mendapat wang tunai RM200, anugerah dan sijil penghargaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment