My Add

Wednesday 30 January 2013

5 negeri belum sertai PAAB

SEREMBAN, RABU, 30 Januari, 2013:: Pengerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB), Tan Sri Mohd Tajol Rosli Ghazali berkata sehingga kini terdapat lima negeri yang masih belum menyertai PAAB.

Katanya negeri itu ialah Pahang, Kelantan, Terengganu, Selangor dan Kedah.

"Penerangan dan taklimat mengenai kelebihan menyertai PAAB yang menguruskan pembangunan air bagi kerajaan negeri telah pun dibuat bersama semua negeri berkenaan tapi sehingga kini negeri-negeri itu masih enggan menyertai PAAB.

"Kita telah lakukan apa yang patut dibuat termasuklah duduk berbincang dan bercakap dengan memberi penerangan kepada kerajaan negeri tersebut, tetapi setakat ini belum ada sebarang keputusan. Maka, terpulanglah kepada negeri berkenaan untuk mengambil langkah seterusnya kerana kita tidak pernah memaksa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian serah hak aset air oleh kerajaan Negeri Sembilan kepada PAAB di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman.

Tajol Rosli berkata PAAB bersedia melaksanakan segala pembangunan air termasuklah kemudahan infrastruktur di sesebuah negeri itu, asalkan ia mendapat sokongan padu daripada kerajaan negeri itu sendiri. 

Katanya kerajaan akan menghentikan bantuan kewangan kepada mana-mana negeri yang masih belum menyertai PAAB.

"Kita tidak mahu jika ada masalah, baru hendak cari kita (PAAB), tetapi sebelum ini mereka sendiri yang laksanakan segala projek pembangunan air negeri," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment