Bapa, dua anak perempuan dipenjara perdagang amah
KUALA LUMPUR, RABU, 30 Januari, 2013:: Seorang bapa dan seorang anak perempuannya dipenjara tiga tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memperdagangkan seorang pembantu rumah warga Kemboja dua tahun lalu.
Hukuman setahun penjara turut dijatuhkan ke atas seorang lagi anak perempuan tertuduh kerana kesalahan sama.
Hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain membuat keputusan itu terhadap Yeow Kim Bok, 54, dan anaknya Yeow Sheh Yan, 25, dan Yeow Sheh Li, 33, selepas mendapati mereka gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.
Yeow, seorang jurujual dan Sheh Yan yang merupakan penuntut didakwa memperdagangkan Neak Ban, 25, bagi maksud eksploitasi dengan menggunakan kekerasan atau paksaan terhadap wanita itu di sebuah rumah di Taman Sri Sinar Segambut, Sentul di sini pada 1.30 petang, 3 Ogos 2011, mengikut Seksyen 13 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.
Sheh Li, ibu tunggal kepada dua anak, didakwa memperdagangkan Neak bagi maksud eksploitasi di tempat dan waktu sama, mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang 2007.
Hakim Ahmad Zamani turut menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM1,000 terhadap Yeow yang didakwa mencederakan pembantu rumahnya dengan menumbuk serta menghentak muka wanita itu pada dinding rumah pada 9 pagi, 3 Ogos 2011.
Sheh Yan turut dikenakan hukuman sama kerana didakwa mencederakan Neak dengan menumbuk dan menampar muka serta menendang belakang badan wanita itu di lokasi sama antara 6 petang pada 2 Ogos dan 9 pagi, 3 Ogos 2011.
Mereka didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.
Sheh Yan turut dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan didenda RM3,000 kerana didakwa menghalang Inspektor M.Sathiyaseelan daripada melakukan tugasannya dengan menendang kaki pegawai polis itu di tempat sama pada 1.30 tengah hari, 3 Ogos 2011.
Sementara itu, mahkamah menjatuhi hukuman penjara tiga bulan terhadap seorang penuntut, Mona Ooi Jia Yi, 22, yang didakwa menghalang Lans Koperal Noor Diana Nasaruddin daripada menggari tangan rakannya, Sheh Yan pada tempat dan waktu sama.
Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan.
Hakim Ahmad Zamzani turut memerintahkan hukuman penjara yang dikenakan terhadap Yeow dan Sheh Yan berjalan serentak dan kesemua tertuduh perlu menjalani hukuman itu berkuat kuasa hari ini.
Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam Saranjeet Kaur Sidhu yang mewakili keempat-empat tertuduh untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sementara menunggu rayuan di Mahkamah Tinggi.
Timbalan Pendakwa Raya Henry Tan mengemukakan seramai lima saksi pendakwaan manakala pihak pembelaan mengemukakan lapan saksi termasuk kesemua tertuduh. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment