My Add

Thursday 31 January 2013

Malaysia negara pertama

Oleh NORLIZA ABD. RAHMAN

PUTRAJAYA, RABU, 30 Januari, 2013: Bahagian Halal Hab Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakar sejarah dalam industri halal global apabila muncul sebagai badan persijilan halal pertama di dunia mengguna dan mengesahkan pengeluaran produk farmaseutikal berdasarkan standard farmaseutikal halal pertama dunia, MS2424:2012.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, sijil halal tersebut dianugerahkan kepada tiga anak syarikat Chemical Company of Malaysia Bhd. (CCM).

Syarikat tersebut ialah CCM Pharmaceuticals Sdn. Bhd., Upha Pharmaceutical Mfg. (M) Sdn. Bhd. dan Duopharma (M) Sdn. Bhd.

"Lebih 200 produk farmaseutikal CCM berjaya memperoleh pensijilan berprestij tersebut. Ini mewujudkan satu era baru dalam pengeluaran produk farmaseutikal di pasaran di mana elemen halal dapat dikenalpasti dan disahkan melalui logo Halal Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menganugerahkan pensijilan halal berdasarkan standard farmaseutikal halal terulung dunia kepada Pengerusi CCM, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Yang turut hadir Ketua Pengarah Jakim, Datuk Othman Mustapha.

Jamil Khir menjelaskan, logo tersebut dipamerkan pada barangan di kaunter seperti suplemen kesihatan dan ubat-ubatan, produk terapeutik yang tidak memerlukan sebarang preskripsi daripada doktor atau ahli farmasi.

"Sebagai perintis dalam penggunaan sistem baharu ini, kami berharap lebih banyak syarikat dalam industri farmaseutikal serta badan persijilan yang diiktiraf di seluruh dunia turut serta membekalkan produk yang selari dengan kehendak Islam," katanya.

Beliau turut menyeru umat Islam memahami bidang perubatan dan farmaseutikal serta bijak membuat keputusan kerana mereka telah diberikan mandat untuk menjauhi produk yang haram serta mengandungi bahan diragui.

Jelasnya, pensijilan halal merupakan inisiatif sukarela dan terpulang kepada syarikat farmaseutikal untuk mendapatkan pensijilan halal bagi memenuhi kehendak umat Islam di Malaysia dan seluruh dunia yang berjumlah 1.8 bilion.

"Semua pemegang sijil 'Halal Malaysia' harus komited dalam mengekalkan nilai standard yang tinggi sepanjang masa, bukan pada waktu penilaian atau pembaharuan sijil setiap dua tahun.

"Bagaimanapun, Bahagian Hab Halal Jakim melakukan pengawasan audit sepanjang tempoh sah laku sijil halal, jaminan seharusnya datang daripada syarikat itu sendiri," katanya.

Tambahnya, nilai eksport produk halal kini meningkat 5.1 peratus daripada RM35.5 bilion nilai import negara pada 2011 dan dengan adanya pensijilan halal farmaseutikal, kerajaan yakin jumlah tersebut akan meningkat. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment