My Add

Wednesday 30 January 2013

PERHILITAN Kelantan salur RM1 juta kawal ancaman gajah

KOTA BHARU, RABU, 30 Januari, 2013: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Kelantan menerima peruntukan lebih RM1 juta daripada kerajaan pusat bagi melaksanakan program pembangunan terutama mengawal ancaman gajah liar di seluruh Kelantan tahun ini.

Pengarah PERHILITAN Kelantan, Rahmat Topani, berkata pihaknya sedang meningkatkan usaha mengawal serangan gajah liar daripada memasuki kawasan perkampungan dan tanaman penduduk, khasnya di kawasan hulu Kelantan.

“Sebahagian besar daripada peruntukan itu untuk membina pagar elektrik, penyelenggaraan, pemindahan dan pengawalan haiwan itu daripada menceroboh kawasan pertanian dan perkampungan penduduk di kawasan terbabit,” katanya kepada BERNAMA di sini, hari ini.

Beliau berkata, pada masa ini, jabatannya sedang memberi tumpuan melaksanakan projek pembinaan pagar elektrik di kawasan Batu Melintang di Jeli.

"Setakat ini, kita bekerjasama dengan wakil rakyat kawasan berkenaan sudah bina pagar elektrik sepanjang 15 kilometer membabitkan beberapa kampung, membabitkan kos antara RM300,000 hingga RM400,000. Projek itu hanya membabitkan 15 kilometer saja lagi untuk disiapkan," katanya.

Beliau turut menasihatkan pengusaha ladang sama ada di bawah pemilikan syarikat atau individu supaya mengambil inisiatif membina pagar elektrik di kawasan masing-masing.

"Kerjasama pihak berkenaan perlu bagi membanteras kegiatan ancaman gajah liar daripada memasuki kawasan kediaman dan pertanian penduduk di kawasan terbabit dengan lebih berkesan," katanya. 

Pembinaan pagar elektrik itu dipercayai lebih berkesan berbanding kaedah lain, kerana ia memberi impak kepada haiwan daripada menghampiri kawasan yang menjadi tumpuannya.

Katanya, dalam kes terbaru minggu lalu, PERHILITAN menerima aduan penduduk Jeli terdapat sekumpulan gajah liar memasuki kawasan pertanian mereka.

Rahmat berkata, pihaknya mengambil tindakan dengan mengarahkan renjer PERHILITAN membuat pemantauan dan sedang mengatur strategi untuk menangkap kumpulan gajah berkenaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment