My Add

Wednesday, 30 January 2013

China minat melabur di MCKIP

KUALA LUMPUR, SELASA, 29 Januari, 2013: Syarikat-syarikat dari China telah menunjukkan minat mendalam untuk melabur di Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP) di Gebeng, Pahang.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, syarikat-syarikat ini berminat untuk melabur dalam taman perindustrian meskipun terdapatnya isu-isu politik berkaitan dengan projek Lynas di Gebeng.

"Syarikat-syarikat ini langsung tidak menimbulkan isu ini (Lynas) walaupun mereka menyedari mengenai kilang dan lokasinya yang amat hampir dengan MCKIP," kata beliau dalam persidangan akhbar mengenai taman perindustrian itu di sini hari ini.

Beliau berkata, kerajaan China sendiri telah menunjukkan minat dengan MCKIP berikutan lokasi taman itu yang strategik, iaitu kira-kira 1,104 batu nautika ke Taman Perindustrian Qinzhou, China, dengan anggaran tiga hingga empat hari tempoh penghantaran dari MCKIP.

MCKIP lahir hasil daripada respons kepada Taman Perindustrian Qinzhou China-Malaysia yang telah diberikan status peringkat negara oleh Majlis Negara China.

Taman itu akan menjadi taman perindustrian pertama di Malaysia, dibangunkan bersama-sama oleh Malaysia dan China, pada anggaran kos pembangunan kasar RM1.5 bilion.

MCKIP, yang akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua tahun ini, dijangka mewujudkan 5,500 peluang pekerjaan dengan nilai pelaburan RM7.5 bilion menjelang 2020.

Majlis pecah tanah untuk taman itu akan diadakan pada 5 Februari 2013 dan akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Mustapa berkata, projek MCKIP ini tepat pada masanya memandangkan hubungan Malaysia-China pada masa ini sudah sampai ke kemuncaknya.

"Jumlah pelaburan yang diluluskan oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) pada tahun 2011 berjumlah sehingga RM1.194 bilion sementara untuk tempoh Januari hingga Julai tahun lepas, MIDA telah meluluskan pelaburan bernilai RM230.7 juta," kata beliau.

Untuk tahun 2013, Mustapa berkata, kerajaan menjangkakan tidak kurang daripada RM1 bilion pelaburan akan diluluskan oleh MIDA, dirangsang oleh promosi yang rancak dan persekitaran pelaburan yang lebih baik. - BERNAMA  

No comments:

Post a Comment