My Add

Friday, 8 November 2013

29,754 kes denggi, 61 kematian dilaporkan tahun ini

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: Sebanyak 29,754 kes denggi dilaporkan di seluruh negara sehingga 2 November lalu iaitu peningkatan 11,486 kes berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr. Lokman Hakim Sulaiman berkata, kumulatif kematian demam denggi sehingga kini adalah sebanyak 61 orang, berbanding hanya 32 kematian pada 2012.

"Sejumlah 409 lokaliti aktif wabak denggi dipantau di seluruh negara di mana ia merupakan jumlah yang tertinggi pernah dilaporkan setakat ini dan daripada jumlah itu, 72 lokaliti hotspot dilaporkan berlaku di negeri Selangor dan Pulau Pinang.

"Penduduk di kawasan ini diminta agar mempertingkatkan tahap kebersihan terutama pada takungan air dan tempat-tempat yang berpotensi untuk pembiakan Aedes dengan memasukkan ubat pembunuh jentik-jentik," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Lokman Hakim, cuaca yang tidak menentu pada masa sekarang boleh meningkatkan lagi kadar jangkitan denggi jika takungan-takungan air dibiarkan dan menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

"Masyarakat setempat disaran supaya bekerjasama dalam memastikan persekitaran mereka bebas daripada punca pembiakan nyamuk Aedes dan sentiasa bertanggungjawab untuk menghindarkan mereka dari dijangkiti demam denggi," katanya.

Tambahnya, semburan racun serangga tidak berkesan untuk mengurangkan wabak denggi tanpa memusnahkan tempat pembiakan kerana nyamuk baharu akan muncul semula setiap hari dari tempat pembiakan tersebut. - UTUSAN ONLINE     

No comments:

Post a Comment