My Add

Friday 8 November 2013

Bajet 2014: Rebat air diperluas 35 meter padu

NUSAJAYA, KHAMIS, 07 November, 2013; Kerajaan negeri akan memperluaskan Program Rebat Air dari 20 kepada 35 meter padu sebagai usaha membantu mengurangkan bebanan rakyat berpendapatan rendah.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, langkah itu adalah selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mengatasi masalah kos sara hidup yang dihadapi rakyat kini dan pada masa sama berusaha mencari jalan memastikan kesejahteraan mereka tidak dikompromi.

“Bagi mengurangkan beban rakyat berpendapatan rendah iaitu golongan miskin dan miskin tegar, kerajaan negeri bersetuju meningkatkan pengecualian rebat air dari 20 meter padu kepada 35 meter padu.

“Air bersih merupakan kemudahan asas yang sangat hakiki dan usaha kerajaan ini diharap dapat memastikan semua rakyat di pedalaman terpencil sekalipun dapat menikmati kemudahan air bersih percuma," katanya semasa membentangkan Bajet 2014 dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kota Iskandar di sini hari ini.

Program tersebut merupakan sebahagian daripada fokus yang terkandung di dalam empat strategi utama bajet berkenaan, antara lain memberi penekanan kepada usaha-usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Selain itu, kerajaan negeri turut memberi penekanan kepada langkah-langkah mencorakkan ekonomi lebih mapan serta memperkasa dan merakyatkan kerajaan dengan memberi tumpuan terhadap usaha membentuk modal insan yang berketerampilan pada masa akan datang.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan negeri juga menyasarkan 100 peratus penduduk negeri ini mendapat bekalan air bersih menjelang 2017 dengan meningkatkan perkhidmatan ke kawasan luar bandar.

“Justeru, kerajaan negeri akan meningkatkan usaha menyalurkan bekalan air bersih dengan berkesan kepada semua penduduk di luar bandar dan usaha ini tidak hanya tertumpu kepada akses bekalan air sahaja tetapi merangkumi kualiti serta tahap perkhidmatan setanding negara maju," katanya.

Dalam pada itu, jelasnya, kerajaan negeri akan memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Kerajaan Pusat dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi memastikan 100 peratus penduduk Johor mendapat bekalan elektrik menjelang 2017.

Bagi mengupayakan ekonomi bumiputera, Menteri Besar memberitahu, kerajaan negeri telah merancang beberapa strategi bagi merapatkan jurang ekonomi dengan kaum lain, antaranya memperkasakan peranan Permodalan Darul Ta’zim untuk memastikan penyertaan menyeluruh golongan bumiputera sama ada syarikat atau individu dalam setiap projek yang dilaksanakan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment