My Add

Friday, 8 November 2013

Elak diceroboh perisikan luar negara

Oleh FAIZAH IZZANI

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: Kementerian Komunikasi dan Multimedia akan mengemukakan beberapa cadangan mempertingkatkan tahap keselamatan dalam sistem komunikasi negara supaya tidak mudah dicerobohi oleh pihak tertentu terutama perisikan luar negara.

Menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan boleh menimbangkan untuk melaksanakan saringan bagi setiap maklumat berkaitan sebelum boleh diakses bagi memastikan tiada pencerobohan pihak asing.

"Bagi memastikan orang yang kita anggap sebagai sahabat tidak melakukan perkara tidak baik kepada negara, kementerian akan lihat bagaimana sistem komunikasi sedia ada boleh dipertingkat dari mudah dibolosi.

"Kita akan cari kaedah untuk nasihatkan kerajaan supaya memperbanyakkan sistem tapisan bagi elak maklumat diakses oleh mereka yang berkemungkinan adalah perisik," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melancarkan inisiatif komunikasi terbaharu, Hab Komunikasi Nasional Setempat Neutral (My1Hub), sistem kabel dasar laut persendirian pertama negara, Cahaya Malaysia dan Gerbang Antarabangsa Iskandar (IIGW) oleh Telekom Malaysia Bhd. (TM), di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi TM, Datuk Seri Dr. Halim Shafie dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Zamzamzairani Mohd. Isa.

Ahmad Shabery berkata, tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa melakukan pengintipan ke atas negara ini melalui kedutaan negara itu di ibu negara serta terhadap beberapa negara lain seperti dilaporkan akhbar antarabangsa baru-baru ini amat tidak wajar.

"Kita kecewa dengan dakwaan itu kerana negara yang kita anggap mahu jadi sahabat tetapi melakukan risikan tentang apa yang kita buat. Kita hendak tahu sejauh mana risikan itu dikatakan untuk mengekang pengganas atau adakah mereka hendak tahu semua tentang negara ini.

"Ini yang menjadi punca kemarahan Perancis dan Jerman, sehingga perbualan pemimpin negara pun mereka intip. Bagi kita, ini tidak patut diizinkan berlaku," katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai inisiatif terbaharu TM, Ahmad Shabery berkata, pelancaran tiga projek tersebut bakal menjadikan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negara lebih pantas dan efisien.

Tiga inisiatif tersebut adalah untuk menampung permintaan yang semakin meningkat bagi hubungan data di dalam dan luar negara.

My1Hub bertindak sebagai pusat tunggal untuk menyediakan hubungan efisien kepada gerbang-gerbang domestik dan antarabangsa melalui stesen kabel dan rangkaian sistem kabel syarikat itu, termasuk Cahaya Malaysia.

Usaha tersebut bukan sahaja menyediakan hubungan internet dan jalur lebar di dalam dan luar negara, malah, lebih penting, menawarkan platform neutral bagi penyedia perkhidmatan dan pengusaha pusat data untuk meningkatkan tawaran kepada pengguna akhir dengan memanfaatkan prasarana TM yang luas.

Zamzamzairani dalam pada itu menjelaskan, untuk permulaan, My1Hub akan meliputi Semenanjung Malaysia dan akan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua hingga tiga tahun lagi.

Beliau berkata, syarikat itu akan terus melabur untuk memperluaskan tawaran hubungan data termasuk mengoptimumkan penggunaan Cahaya Malaysia yang mempunyai kapasiti hingga 24 terabait sesaat (Tbps). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment