My Add

Saturday, 9 November 2013

Ekonomi masih kukuh walau nilai ringgit susut - Ahmad Maslan

PONTIAN, JUMAAT, 08 November, 2013: Kedudukan ekonomi negara masih kukuh walaupun nilai ringgit mengalami penyusutan berbanding dolar Singapura.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan berkata, penyusutan tersebut tidak memberi sebarang masalah memandangkan nilai ringgit masih stabil berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

"Adalah penting ringgit kukuh dan stabil berbanding dolar AS kerana kebanyakan perdagangan antarabangsa dibuat dalam mata wang berkenaan, bukannya dolar Singapura atau lain-lain.

"Penyusutan mata wang ini juga perlu dilihat dari sudut positif kerana nilai eksport negara terus meningkat selain rakyat Singapura akan terus menjadikan negara ini sebagai destinasi membeli-belah," katanya selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Taman Benut Utama, Benut dekat sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan media Singapura tentang kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar Singapura iaitu RM2.50 bagi S$1 dan keadaan itu dijangka kekal dalam tempoh enam bulan akan datang.

Nilai mata wang itu dijangka terus meningkat kepada RM3 bagi S$1 dalam tempoh beberapa tahun akan datang, dengan aliran keluar dana daripada pembelian bon ringgit yang menjadi salah satu punca penyusutan nilai mata wang berkenaan.

Laporan tersebut yang tersebar menerusi laman sosial seperti Facebook turut mendapat maklum balas dan pandangan berbeza-beza daripada rakyat negara ini.

Dalam perkembangan lain, Ahmad memaklumkan, caruman Insuran Takaful Berkelompok Rakyat 1Malaysia atau i-BR1M yang dicadangkan kerajaan sebelum ini akan dikuatkuasakan mulai awal tahun depan.

Beliau berkata, insurans perlindungan berjumlah RM30,000 itu akan diberikan kepada waris sekiranya penerima BR1M meninggal dunia.

Bagaimanapun, caruman tersebut tidak meliputi penerima yang masih bujang. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment