Isma edar risalah dedah dalang Comango
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 08 November, 2013: Dalang di sebalik Gabungan NGO-NGO Hak Asasi Manusia (Comango) didedahkan oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) melalui sebaran 70,000 risalah di masjid-masjid di seluruh negara selepas solat Jumaat hari ini.
Dalam kenyataannya di sini hari ini, Isma berkata, edaran tersebut bertujuan untuk menjelaskan kepada seluruh umat Islam bahawa tuntutan Comango di Malaysia telah didalangi oleh tokoh-tokoh liberal dan 54 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang anti-Islam.
"Sebanyak 12 daripada 54 NGO dalam gabungan Comango tersebut berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS),'' kata kenyataan itu.
Comango merupakan teras kepada gagasan NGO hak asasi manusia yang menghantar laporan kepada Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) untuk melobi negara-negara dunia bagi menekan Malaysia agar menuntut tuntutan mereka di Geneva, baru-baru ini.
Antara tuntutan Comango adalah hak kebebasan orientasi seks, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), hak kebebasan murtad bagi orang Islam dan hak kesamarataan agama.
Sementara itu, risalah 'Bahaya Comango' telah diedarkan oleh petugas-petugas Isma di masjid-masjid sekitar Lembah Klang, Kuala Lumpur, Gombak, Shah Alam, Klang, Bandar Baru Bangi, Putrajaya dan Seremban.
Sebaran sama turut diadakan di Samarahan (Sarawak), Melaka, Kuantan dan Kuala Terengganu. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment