My Add

Friday, 8 November 2013

Utama pendidikan berkualiti

Oleh Nor Aziah Jaafar

 * MUHYIDDIN Yassin ketika membuat lawatan ke Institut Antarabangsa bagi Penyelidikan Pendidikan (IIEP) di Paris, semalam. Turut kelihatan Pengarah IIEP, Khalil Mahshi (kanan) dan Duta Besar Malaysia ke Perancis, Tan Sri Ismail Omar (kiri). - BERNAMA
PARIS, KHAMIS, 07 November, 2013: Malaysia percaya pendidikan berkualiti merupakan satu bentuk pelaburan yang memberi pulangan paling baik dalam meningkatkan standard modal insan yang dilahirkan negara.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, oleh itu kualiti merupakan prinsip yang diutamakan oleh kerajaan dalam menghasilkan sistem pendidikan dinamik yang dapat disesuaikan dengan landskap pembangunan yang sentiasa berubah dalam negara dan di peringkat global.

Menurutnya, sasaran dan aspirasi untuk sistem pendidikan sedemikian dizahirkan menerusi kewujudan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 yang dilancarkan pada September lepas.

“Malaysia sedang menuju ke arah satu sistem pendidikan yang memenuhi keperluan warga mudanya supaya mereka bersedia menghadapi cabaran global pada abad ke-21," katanya dalam penyataan negara yang disampaikan pada Debat Polisi sempena Persidangan Agung Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) Ke-37 di sini hari ini.

Dalam memenuhi keperluan Pendidikan Untuk Semua (EFA) katanya, Malaysia juga menyediakan akses pendidikan kepada kanak-kanak yang menjalani rawatan menerusi penubuhan ‘Sekolah Dalam Hospital’ sejak 2011 yang mana golongan itu dapat mengikuti pelajaran sama seperti rakan-rakan mereka di sekolah.

Setakat ini jelasnya, sebanyak lapan buah ‘Sekolah Dalam Hospital’ disediakan untuk memenuhi keperluan golongan berkenaan.

Menurut Muhyiddin, selain pendidikan berkualiti, aspek sains, teknologi dan inovasi juga merupakan keutamaan negara dan menerusi Pusat Sains, Teknologi dan Inovasi Antarabangsa (ISTIC), Malaysia berharap dapat meningkatkan lagi usaha mempromosi Kerjasama Selatan-Selatan dan sokongan terhadap program-program sains UNESCO.

Katanya, ISTIC mempercepatkan proses mengintegrasikan aspek sains, teknologi dan inovasi dalam polisi negara.

“Setakat ini seramai 1,585 pegawai dari 82 negara membangun menerima manfaat daripada program meningkatkan kapasiti yang dikendalikan ISTIC dalam tempoh lima tahun lepas," katanya.

Muhyiddin memberitahu, komitmen Malaysia kepada UNESCO dan sokongan kepada negara-negara membangun untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) menjelang 2015 ditunjukkan dengan menandatangani Program Kerjasama Malaysia-UNESCO diikuti penubuhan Dana Amanah Malaysia pada April lepas.

Menerusi kerjasama itu jelasnya, Malaysia dapat menyumbang kepada negara-negara kurang membangun dan kepulauan kecil serta Afrika. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment