My Add

Friday, 8 November 2013

Pemilihan CEC DAP belum sah

Oleh BADRUL HAFIZAN MAT ISA

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: Kedudukan pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang diadakan September lalu belum sahih selagi Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih tidak mengiktirafnya secara rasmi dan bertulis.

Bekas Pengerusi DAP Cawangan Sungai Pelek, Tan Tuan Tat sehubungan itu berharap Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak cuba memperdaya ahlinya terutama kaum Cina dengan memberi tanggapan bahawa status CEC ketika ini adalah sah.

"Pembentukan CEC yang baharu juga tidak boleh dianggap sebagai sah selagi pihak ROS tidak mengiktiraf kesahihan pemilihan semula CEC yang diadakan pada 29 September lalu itu.

"Malah sehingga kini, Guan Eng masih belum menghantar kepada ROS laporan lengkap pemilihan semula tersebut serta senarai jawatankuasa baharu termasuk senarai nama kesemua 2,576 perwakilan sah yang berhak hadir dan mengundi. Juga senarai kehadiran serta senarai semua cawangan yang bertauliah sehingga 15 Disember tahun lalu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar dekat sini hari ini.

DAP mengadakan pemilihan semula CEC dalam kongres khas parti tersebut selepas diarah berbuat demikian oleh ROS.

Ini ekoran pemilihan CEC DAP tahun lalu, menimbulkan keraguan kerana didakwa wujud penyelewengan selepas parti itu dikatakan gagal memberi notis kepada 753 delegasi yang merupakan ahli sah untuk mengundi dalam pemilihan tersebut.

Sementara itu menurut Tuan Tat, tindakan DAP mengadakan pemilihan semula CEC tanpa mengikut Perlembagaan parti itu sendiri juga harus dipersoalkan.

Ini kerana mengikut Perlembagaan, pemilihan semula hanya boleh diadakan dalam kongres kebangsaan parti, bukan kongres khas seperti yang dilaksanakan September lalu.

"Mengapa DAP tidak dapat mengikut Perlembagaan mereka sendiri sedangkan dalam parti itu terdiri ramai peguam berkualiti seperti yang dicanangkan oleh Pengerusi DAP, Karpal Singh. Jika benar mereka berkualiti, kenapa isu CEC ini masih belum selesai hingga kini?

"Sikap kepemimpinan DAP ini seolah-olah sengaja mahu supaya ROS mengambil tindakan membatalkan pendaftaran DAP sekali gus membolehkan mereka menubuhkan parti baharu dengan jawatankuasa dan kepemimpinan parti baharu itu nanti terdiri daripada kroni dan barisan yang sama," katanya.

Beliau turut berharap ROS dapat meneliti setiap aduan yang dibuat oleh ahli-ahli DAP sebelum ini berhubung penyelewengan dan penipuan semasa pemilihan semula CEC lalu.

"Diharapkan ROS tidak takut untuk bertindak sekiranya didapati wujud salah laku semasa pemilihan semula CEC lalu meskipun Karpal dan Guan Eng cuba menggertak untuk menyaman ROS," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment