Saranan tidak masuk akal, hina pertubuhan berasaskan kaum
KUALA LUMPUR, RABU, 06 November, 2013: Saranan Pengerusi DAP, Karpal Singh supaya semua parti politik dan pertubuhan profesional berasaskan kaum dibatalkan pendaftarannya disifatkan sebagai kenyataan tidak masuk akal serta menghina pertubuhan berasaskan kaum di negara ini.
Presiden Pertubuhan Jaringan Cina Malaysia, Ng Lum Yong berkata, saranan Karpal itu tidak menghormati ahli-ahli pertubuhan profesional terutama komuniti Cina yang mempunyai kira-kira 6,500 pertubuhan atau persatuan ketika ini.
Menurut beliau, pertubuhan masyarakat Cina yang ditubuhkan sejak 300 tahun lalu memberi sumbangan besar kepada rakyat di negara ini tanpa mengira kaum.
"Jika pertubuhan-pertubuhan ini diharamkan, tanggungjawab selaku platform kepada sesuatu kaum untuk berkumpul selain membincangkan sesuatu isu akan terbantut," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Semalam, Karpal menegaskan, parti politik dan pertubuhan profesional di negara ini yang berteraskan kaum serta agama tidak sesuai diamalkan selain berbahaya.
Lum Yong menggesa Karpal menarik balik kenyataan biadab tersebut dan memohon maaf kepada seluruh rakyat berhubung kenyataan yang disifatkan penghinaan kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Katanya, selaku seorang pemimpin, peguam dan wakil rakyat, Karpal tidak sewajarnya mengeluarkan kenyataan mengikut emosi sebaliknya melihat sesuatu perkara secara meluas serta dari pelbagai sudut.
Dalam pada itu, beliau mencabar Karpal membuat surat rasmi kepada rakan sekutunya Pas supaya parti tersebut tidak menggunakan nama Pas atau bergerak tanpa berlandaskan agama.
Beliau turut mencabar Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng membuat kenyataan terbuka sama ada saranan Ahli Parlimen Bukit Gelugor berkenaan merupakan pendirian rasmi DAP atau sebaliknya.
"Saya juga mahu tanya Guan Eng, apa pendirian sebenar DAP. Adakah saranan Karpal ini mewakili pendirian rasmi DAP?
"Sekiranya saranan Karpal itu tidak merujuk terlebih dahulu kepada parti, beliau perlu dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin DAP," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment