Wisma Putra panggil Kedutaan AS, Australia
KUALA LUMPUR, KHAMIS, 07 November, 2013: Wisma Putra telah memanggil pihak Kedutaan Amerika Syarikat (AS) dan Suruhanjaya Tinggi Australia bagi memberikan penjelasan berhubung dakwaan kegiatan pengintipan yang dilakukan di negara ini.
Timbalan Menteri Luar, Datuk Hamzah Zainudin berkata, tindakan tersebut diambil mengikut prinsip diplomasi yang digunapakai oleh mana-mana negara dalam hubungan bilateral.
Walau bagaimanapun, jelas beliau, Malaysia tetap membantah dan mendesak kedua-dua negara itu menghentikan serta-merta kegiatan pengintipan sekiranya benar berlaku.
''Kita sudah pun panggil, namun mereka tidak memberi sebarang maklum balas sehingga kini. Selepas ini ada beberapa perkara susulan yang akan dibuat bagi menentukan perkara ini tidak berlaku lagi di masa hadapan.
''Kita yakin isu ini tidak akan menyebabkan hubungan antara negara akan terjejas kerana kita sedang menunggu keputusan daripada penjelasan itu sehingga kita berpuas hati," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Meja Bulat Gerakan Kesederhanaan Global di sini hari ini.
Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, Malaysia pada prinsipnya menentang sebarang kegiatan pengintipan terhadap mana-mana kerajaan kerana melibatkan soal kedaulatan negara.
Najib berkata, Malaysia telah menghantar nota bantahan kepada pejabat Kedutaan AS dan Suruhanjaya Tinggi Australia di sini, berhubung dakwaan pengintipan dilakukan menerusi laporan akhbar Der Spiegel dan Sydney Morning Herald.
Hamzah berkata, sekiranya dakwaan pengintipan itu berasas, kedua-dua negara tersebut secara jelas telah melanggar prinsip hak asasi manusia yang mereka sendiri perjuangkan.
Dalam konteks itu, katanya, adalah tidak adil jika ada pihak menganggap kegiatan pengintipan tersebut berlaku disebabkan kelemahan negara.
''Ini bukan satu kelemahan negara, tetapi kelemahan penerimaan prinsip hak asasi manusia yang diperjuangkan sendiri oleh AS.
''AS sepatutnya melihat perkara ini sebagai kelemahan minda mereka dari segi pertahanan negara iaitu bukan cara mengintip negara luar, tetapi mereka perlu melihat negara-negara lain sebagai rakan yang boleh bantu-membantu supaya konsep hak asasi manusia dapat diterima dalam dunia hari ini," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment