GENEVA, AHAD, 29 Julai, 2012: Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Navi Pillay semalam, menggesa satu siasatan bebas dijalankan bagi menyiasat dakwaan etnik Rohingya menjadi mangsa penindasan tentera Myanmar.
Katanya, tindakan menghantar pasukan tentera Myanmar ke negeri Rakhine bagi membendung keganasan dilaporkan bertukar menjadi tindakan kekerasan, dengan menjadikan penduduk Islam sebagai sasaran.
"Kami menerima beberapa laporan daripada sumber-sumber bebas mengenai sikap diskriminasi dan tindakan sambil lewa pasukan tentera negara itu, selain dituduh menghasut serta terlibat dalam keganasan," ujarnya.
Pillay turut menggesa kerajaan Myanmar menghentikan tindakan kekerasan dan melahirkan rasa kecewa terhadap media-media bebas yang mengecam etnik Rohingya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), keganasan etnik yang berlaku sejak awal Jun lalu di Rakhine, menyebabkan sekurang-kurangnya 78 orang terbunuh, manakala kira-kira 80,000 penduduk kehilangan tempat tinggal.
"Ramai penduduk Rakhine kini berlindung di sekitar pekan Sittwe dan Maungdaw.
"Kebanyakan mereka masih takut untuk pulang ke rumah masing-masing selain tidak dibenarkan untuk bekerja," kata jurucakap UNHCR, Andrej Mahecic. - AGENSI
No comments:
Post a Comment