My Add

Tuesday 31 July 2012

RM500 juta siapkan lebuh raya Hulu Terengganu-Hulu Besut

BESUT, SELASA, 31 Julai, 2012: Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM500 juta bagi pembinaan lebuh raya menyambungkan Hulu Terengganu dan Hulu Besut, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Said. 

Beliau berkata, pembinaan lebuh raya yang akan bermula tidak lama lagi itu menyambungkan Hulu Terengganu melalui Gunung Bongsu ke Keruak, Hulu Besut dan akan dilaksana secara berperingkat dengan pembinaan fasa pertama membabitkan jarak 40 kilometer dengan kos RM110 juta.

"Pelaksanaan projek lebuh raya yang upacara pecah tanahnya dilakukan pada tahun 2008 itu membuktikan kerajaan Barisan Nasional mengotakan janji kepada rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bernilai RM1.4 juta kepada 287 isteri peneroka dan berbuka puasa di Felda Tenang, Hulu Besut di sini, semalam. 

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Seri Idris Jusoh, Ahli Dewan Undangan negeri Kawasan Hulu Besut Nawi Mohamad, wakil-wakil rakyat tempatan dan Pegawai Daerah Besut A Rahim Jusoh. 

Ahmad berkata, lebuh raya yang akan turut menyambungkan kawasan Terengganu dengan sempadan Kelantan di Gua Musang itu, dijangka siap dalam tempoh tiga atau empat tahun dari sekarang. 

Dalam perkembangan lain, Ahmad berkata pembinaan dua hospital baru di daerah Kemaman dan Dungun membabitkan perbelanjaan RM330 juta akan dimulakan akhir tahun ini. 

Hospital baru daerah Kemaman itu akan dibina di Kijal kerana kedudukan hospital yang ada sekarang tidak lagi sesuai dengan pembangunan setempat manakala Hospital Dungun pula akan dibangunkan ditapak asal, katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment