GEORGETOWN, ISNIN, 30 Julai, 2012: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung mekanisme terbaik bagi penyelesaian masalah 130 penuntut Malaysia di Syria untuk menyambung pengajian mereka dalam tempoh terdekat ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata kementerian juga akan memaklumkan perjumpaan dengan semua pelajar terbabit bagi mengetahui latar belakang dan status tahap pengajian mereka.
"Kementerian akan keluarkan kenyataan rasmi dalam dua atau tiga hari ini, akan dinyatakan di mana dan bila pelajar ini boleh buat permohonan untuk membantu selesaikan cabaran mereka sambung belajar.
"Semuanya mengambil jurusan agama dengan demikian ia tidak beri masalah untuk bantu ditentukan tempat bagi mereka sambung pengajian," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Sekretariat Kearifan Tempatan dan Global Fellowship Universiti Sains Malaysia (USM) dan USM Global Fellowship di dewan persidangan USM di sini hari ini.
Mohamed Khaled berkata demikian ketika ditanya mengenai mekanisme terbaik bagi membolehkan 130 penuntut Malaysia di Syria menyambung pengajian mereka di Jordan atau di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.
Kerajaan mengambil keputusan memindahkan penuntut Malaysia dari Syria pulang ke tanah air kerana pergolakan yang semakin meruncing di negara itu.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata kearifan tempatan adalah ilmu berasaskan pengalaman sebenar, diamalkan dalam jangka masa yang sangat panjang dan bertunjang kepada budaya tempatan. "
Ia adalah amalan masyarakat yang sebahagiannya semakin terhakis dan kian dilupakan oleh kita, contohnya dulu tidak ada ubat nyamuk jadi macam mana orang dahulu selesaikan masalah, inilah pengetahuan yang sudah hilang dan perlu dicari balik," katanya.
Beliau berkata, kearifan tempatan juga adalah khazanah bangsa yang menggambarkan citra, tradisi dan identiti sebenar kekuatan semangat satu bangsa yang besar dan hebat.
"Oleh itu inisiatif USM ini sangat dialu-alukan bukan sahaja dari aspek pemuliharaan tetapi juga untuk tahu lebih mendalam sejauh mana ia boleh digunakan untuk selesaikan cabaran pada masa kini," katanya.
Selain itu, katanya, USM Global Fellowship pula adalah insentif berprestij yang kompetitif bagi menarik calon siswazah berkualiti untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) mod penyelidikan secara sepenuh masa.
Beliau berkata, inisiatif USM itu merupakan langkah ke hadapan yang benar dan progresif serta mampu untuk memperkasa jenama USM dan negara di peringkat global.
"Ini juga akan memberi peluang untuk kita mendapatkan calon siswazah yang berbakat dan pintar," katanya. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment