My Add

Tuesday 31 July 2012

Pasukan Petugas Khas dibentuk

KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas bagi memantau perkembangan serta pembangunan pusat kewangan Tun Razak Exchange (TRX) sehingga ia siap dan beroperasi.

Perdana Menteri berkata, pasukan itu akan diketuai Unit Perancang Ekonomi (EPU) Jabatan Perdana Menteri dan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sementara ahli-ahlinya pula, kata beliau, akan dianggotai oleh para pegawai kanan Kementerian Kewangan, Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti serta beberapa agensi lain.

Menurutnya, penubuhan pasukan petugas khas itu bertujuan memastikan TRX mendapat perhatian kerajaan yang sewajarnya bermula daripada peringkat perancangan dan pembangunan, sehingga ia memulakan operasi kelak.

"Kerajaan akan memastikan TRX merupakan satu kejayaan dan sebagai langkah permulaan, saya memberi jaminan akan melakukan kajian menyeluruh mengenai peraturan perniagaan.

"Logik di sebalik kajian ini adalah mudah, sebarang perkara yang menyumbang kepada pembangunan akan dikekalkan sementara perkara yang lapuk akan dihapuskan," katanya ketika berucap merasmikan TRX di sini hari ini.

TRX sebelum pelancarannya hari ini dikenali sebagai Pusat Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan juga menawarkan beberapa insentif tambahan kepada para pelabur yang berminat beroperasi di TRX seperti 100 peratus pelepasan cukai pendapatan selama 10 tahun dan pengecualian duti setem ke atas pinjaman serta perjanjian perkhidmatan.

"Kerajaan mempunyai komitmen yang teguh bagi mewujudkan sebuah pusat kewangan yang besar, bertenaga serta berjaya di Kuala Lumpur dan dengan bantuan Bank Negara Malaysia, TRX akan memainkan peranan utama untuk mengubah bandar raya ini menjadi pusat kewangan antarabangsa," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment