My Add

Tuesday 31 July 2012

CUEPACS harap bonus khas untuk pesara KWSP

PUTRAJAYA, SELASA, 31 Julai, 2012: Presiden Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman, berharap agar Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan turut dipanjangkan kepada pesara yang memilih untuk mencarum dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). 

Beliau berkata, pada masa ini bayaran berkenaan hanya diberi kepada pesara kerajaan yang memilih opsyen pencen, dan kira-kira 300,000 pesara yang memilih opsyen KWSP ini tidak pernah menerima apa-apa imbuhan daripada kerajaan selepas tamat perkhidmatan.

"Ramai yang menelefon saya meminta saya membuat rayuan kepada kerajaan agar mereka juga dapat menerima bayaran ini. 

"Jadi kalau boleh sekali ini kita minta jasa baik Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk turut memberikan mereka bayaran khas ini," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini. 

Omar berkata, kerajaan turut diminta mempertimbangkan untuk memberi bayaran berkenaan kepada tentera yang berkhidmat 18 tahun ke bawah yang tidak mempunyai pencen, agar mereka tidak merasa tersisih. 

Najib, semasa mengumumkan pembayaran bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam Rabu lalu turut mengumumkan pemberian Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan. 

Pemberian bonus dan bayaran khas itu akan memanfaatkan seramai 1.27 juta penjawat awam persekutuan dan 657,000 pesara kerajaan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment