My Add

Monday 30 July 2012

Krisis air akan jejas 300,000 peniaga

AHAD, 29 Julai, 2012:
Kira-kira 300,000 peniaga kecil yang berdaftar dan tidak berdaftar di Lembah Klang akan mengalami kerugian sekiranya krisis air berlaku di Selangor.

Sehubungan itu Presiden Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas), Mohd. Ridzuan Abdullah menggesa kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor memberi jaminan kepada peniaga dan usahawan kecil serta sederhana tentang bekalan air yang berterusan.

“Kita mahu jaminan daripada kerajaan PKR Selangor dan apa tindakan mereka seterusnya jika bekalan air terpaksa dicatu.

“Peniaga akan sukar beroperasi hingga ada yang terpaksa ditutup. Jika ia berlaku, siapa pula yang mahu bertanggungjawab?" katanya pada sidang akhbar berhubung krisis air Selangor di sini hari ini.

Tambah Mohd. Ridzuan, hampir 100 peniaga telah menghubungi Ikhlas menyatakan kebimbangan mereka terhadap kemungkinan krisis air yang boleh menjejaskan perniagaan mereka.

“Ikhlas akan turun padang dan mengedarkan 10,000 borang kaji selidik mengenai krisis air di Selangor kepada para peniaga terutama di kawasan yang sudah terjejas.

“Hasil kaji selidik itu dijangka siap September ini dan akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Penjaja dan Peniaga Kecil Pasar Besar Taman Tun Dr. Ismail (TTDI), Jenny Loo berharap pihak bertanggungjawab mengambil langkah sewajarnya supaya krisis air tidak akan menjejaskan kehidupan seharian peniaga dan masyarakat.

Seorang peniaga di pasar berkenaan, Zaini Zainal Abidin, 48, juga meminta Kerajaan PKR Selangor tidak mempolitikkan krisis air yang dilihat merupakan kepentingan nasional dan rakyat.

“Demi rakyat, ketepikan perbezaan pendapat dan unsur kebencian politik yang ada. Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 dilihat amat kritikal untuk mengatasi krisis air ini," jelasnya.

Peniaga ikan, Jeffrey Tan, 30, pula berkata, dia berharap krisis air itu dapat diselesaikan dengan segera. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment