*NAJIB Tun Razak tertarik melihat replika pembangunan Tun Razak Exchange (TRX) pada majlis pelancaran di Kuala Lumpur, semalam. Turut sama, Lodin Wok Kamaruddin (tiga dari kiri), Nor Mohamed Yakcop (tiga dari kanan) dan Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (dua dari kanan). |
KUALA LUMPUR, ISNIN, 30 Julai, 2012: Daerah kewangan antarabangsa Kuala Lumpur, Tun Razak Exchange (TRX) yang dilancarkan secara rasmi di sini hari ini dijangka menarik pelaburan langsung asing (FDI) melebihi RM3.5 bilion.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, terdapat pelabur strategik yang boleh membawa masuk lebih FDI ke TRX dan butiran terperincinya akan diumumkan September nanti.
Menurutnya, terdapat rakan pelabur antarabangsa yang menjadi penggerak permulaan untuk mengembangkan ekosistem di pusat kewangan itu dan seterusnya menyokong infrastruktur kewangan di TRX.
"Saya amat gembira mengumumkan bahawa kita telah mendapat rakan pelabur untuk keseluruhan fasa pertama TRX," katanya dalam ucapan pada majlis pelancaran TRX di sini hari ini.
TRX sebelum ini dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD).
Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan Pengerusi 1Malaysia Development Bhd. (1MDB), Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin.
Tambah Najib, kerajaan berharap dapat melihat pembangunan kewangan Islam iaitu sektor dengan potensi tanpa had melalui TRX.
Katanya, dengan nilai hanya AS$5 bilion (RM15 bilion) pada 1985, sektor kewangan Islam kini bernilai melebihi AS$1 trilion (RM3 trilion).
Menurut Perdana Menteri, sektor kewangan Islam di Malaysia kini bernilai lebih AS$400 bilion (RM1.2 trilion) dan ia dijangka meningkat tiga kali ganda dari segi nilai pada dekad akan datang.
"Saya amat komited untuk melakukan apa sahaja termampu untuk menjadikan ia lebih senang kepada para pelabur menyertai pasaran-pasaran kewangan Islam di Malaysia.
"Ia juga akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat global untuk kewangan Islam,'' ujarnya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment