My Add

Monday 30 July 2012

Janji ditunai

SIK, AHAD, 29 Julai, 2012: Kerajaan Barisan Nasional (BN) menunaikan satu lagi janji apabila mengumumkan projek pembinaan jalan pintas yang menghubungkan jalan Kampung Merbau Kudung Felda Teloi Timur-Batu 5, dekat sini hari ini.

Projek jalan dua lorong sepanjang 9.9 kilometer dengan perbelanjaan sebanyak RM49.7 juta itu dijangka dimulakan pada 10 Ogos ini.

Majlis pecah tanah projek berkenaan disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Kampung Merbau Kudang, dekat sini, hari ini.

Pengarah Bahagian Jalan Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Baharuddin Che Zain berkata, projek tersebut dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk termasuk peneroka membawa keluar hasil pertanian mereka di samping memendekkan perjalanan ke pekan terdekat.

"Sebelum ini penduduk perlu menggunakan jalan yang jaraknya kira-kira 31 kilometer. Namun, dengan adanya jalan ini nanti, ia mampu memendekkan jarak perjalanan kepada sembilan kilometer sahaja.

"Ia mampu memberikan manfaat besar, malah merangsang pertumbuhan ekonomi kawasan Felda Teloi Timur, Teloi Kanan, Jeniang, Batu 5 dan Sik pada masa akan datang," katanya pada majlis taklimat projek pembinaan jalan terbabit kepada Perdana Menteri di sini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Pengerusi Felda, Tan Sri Isa Samad dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurut Baharuddin, projek pembinaan jalan terbabit dijangka mengambil masa kira-kira 18 bulan dan siap pada Januari 2014.

"Sebanyak 77 ekar tanah yang sebahagian besarnya dimiliki oleh Felda akan digunakan untuk memberi laluan kepada projek pembinaan jalan baru ini," jelasnya.

Tambah beliau, jalan tersebut telah dijanjikan sendiri oleh Perdana Menteri semasa menghadiri majlis berbuka puasa bersama peneroka di Felda Teloi Timur, dekat sini, kira-kira tiga tahun lalu.

"Hari ini, kita bersyukur atas kesudian Perdana Menteri kerana dapat hadir majlis pecah tanah berasa bertanggungjawab untuk melunaskan janji itu.

Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Sik, Datuk Mohd. Tajuddin Abdullah berkata, projek pembinaan jalan terbabit sememangnya amat dinanti-nantikan oleh penduduk di situ.

"Kedatangan Perdana Menteri hari ini benar-benar menepati janji yang beliau buat. Ini juga menunjukkan bahawa BN tidak memberikan janji kosong sebaliknya mengotakan setiap kata-kata dan janji dengan melaksanakan projek yang memberi manfaat besar kepada rakyat," jelas beliau. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment