My Add

Monday 30 July 2012

Bonus tidak jejas kewangan negara

IPOH, AHAD, 29 Julai, 2012: Pemberian bonus setengah bulan gaji dengan bayaran minimum RM500 kepada penjawat awam yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.2 bilion tidak menjejaskan sasaran defisit dan hutang negara terkawal, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Beliau berkata, keadaan kewangan negara membolehkan pemberian bonus tersebut melalui bajet yang disediakan kerajaan setiap tahun.

"Dari segi pendapatan negara kita telah mencapai sasaran untuk tahun ini.

"Malahan kita jangka perolehi lebih daripada sasaran kutipan cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kastam serta dividen yang akan kita terima daripada agensi-agensi kerajaan.

"Perbelanjaan negara juga terkawal yang mana kerajaan melaksanakan konsep "Nilai untuk Wang" iaitu perbelanjaan yang bukan hanya untuk berbelanja tapi berasaskan kepada bagaimana kita berbelanja dan bagaimana nak kurangkan perbelanjaan itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan van jenazah oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) kepada Persatuan Kebajikan Taman Klebang Jaya di Dewan Komuniti Chemor di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut mengumumkan Bayaran Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pesara kerajaan.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment