Dadah: Warga Nigeria dipenjara 9 tahun
SHAH ALAM, SELASA, 30 Oktober, 2012: Mahkamah Tinggi Shah Alam di sini menjatuhkan hukuman penjara sembilan tahun dan 10 sebatan ke atas seorang penjual alat ganti kenderaan warga Nigeria atas kesalahan memiliki 2.5 kg syabu di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang tahun lepas.
Hakim Datuk Abdul Rahim Uda menjatuhkan hukuman itu di bawah Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan menetapkan hukuman penjara bermula dari tarikh tertuduh ditangkap selepas Blessings Akanor, 48, mengaku salah di atas pertuduhan pilihan yang ditawarkan oleh pihak pendakwaan pada hari ini. Lelaki itu dituduh memiliki dadah itu di kawasan tuntutan bagasi di KLIA pada pukul 4 petang, 6 Julai 2011.
Pertuduhan asal Akanor ialah di bawah Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung mandatori kerana mengedar dadah di tempat dan tarikh yang sama.
Peguam Alfred Egin yang mewakili Akanor meminta mahkamah supaya menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun ke atas anak guamnya bermula dari beliau ditangkap pada 6 Julai tahun lepas memandangkan pengakuan tertuduh telah menjimat masa dan kos perbicaraan.— BERNAMA
No comments:
Post a Comment