Kemukakan laporan terperinci - TPM
LABUAN, SELASA, 30 Oktober, 2012: Kementerian Pengangkutan diarah mengemukakan laporan terperinci kepada Kabinet mengenai insiden lampu landasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) yang tidak berfungsi pada minggu lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahukan perkara itu disiasat sehingga ke akar umbi bagi mengenal pasti punca sebenar, sekali gus mengelak perkara itu tidak kembali berlaku.
"Yang penting kita nak tahu apa kesilapan utama, siapa yang bertanggungjawab dan apakah yang perlu dibuat supaya insiden itu tidak berulang.
"Benda ini amat malang kerana penumpang banyak terjejas, saya akan tunggu mungkin dalam mesyuarat Kabinet akan datang pada Jumaat ini," katanya dalam sidang akhbar sempena lawatan kerjanya ke Labuan di sini hari ini.
Ditanya mengenai kaedah pengurangan sehingga 50 peratus tambang feri dari Labuan ke Menumbok, Muhyiddin berkata, mekanisme terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat.
"Ia tidak sukar kerana Perdana Menteri telah umumnya dalam Bajet 2013. Kementerian Kewangan, Kementerian Pengangkutan bersama dengan pengusaha bot akan membincangkannya," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai dua lelaki rakyat Malaysia yang disyaki anggota kumpulan al-Qaeda yang ditahan di Beirut Hamra, Lebanon baru-baru ini, Muhyiddin berkata, sehingga kini, kerajaan tidak menerima sebarang maklumat terkini mengenai status mereka berdua.
"Malang sekali anak muda kita terlibat, kita kena pantau mengapa terpengaruh dan siapa yang mengajar mereka. Saya harap ia adalah kes terpencil dan bukannya kes yang menjadi satu permulaan kerana kesan dan impaknya tidak baik untuk negara," katanya.
Dalam pada itu, mengenai bencana alam taufan Sandy yang membadai Amerika Syarikat (AS), Muhyiddin meminta pelajar dan rakyat Malaysia yang berada di sana supaya mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.
"Kedutaan dan Kementerian Luar memantau dan mendapat maklumat berkala mengenai situasi di sana daripada pentadbiran AS. Rakyat kita yang memerlukan sebarang bantuan boleh hubungi kedutaan atau wakil kita di sana," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment