My Add

Wednesday 31 October 2012

Hab industri minyak, gas


 *MUHYIDDIN Yassin diiringi Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin (kiri) melawat
pameran teknologi penapisan pada Pelancaran Ekspo Minyak Dan Gas Asia di
Labuan, semalam.

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM dan ABDUL RASHID ABDUL RAHMAN
LABUAN, SELASA, 30 Oktober, 2012: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menaruh keyakinan potensi yang ada di Sabah, Labuan dan Johor akan membolehkan tiga destinasi itu muncul sebagai antara hab industri minyak dan gas utama di rantau ini.

Beliau menjelaskan, pembangunan telaga minyak laut dalam yang besar di Labuan dan pelaksanaan projek Terminal Minyak dan Gas Sabah (SOGT) bernilai RM3.8 bilion serta Projek Ammonia Urea Sabah (Samur) bernilai RM1.5 bilion akan melonjakkan Labuan dan Sabah sebagai peneraju industri minyak dan gas di negara ini.

"Saya difahamkan berdasarkan cadangan kerangka utama minyak dan gas Labuan, Asian Supply Base merancang membangunkan jeti baru bernilai RM250 juta sebagai sebahagian daripada pengembangan perniagaan mereka.

"Kerajaan juga turut mengalu-alukan rancangan Labuan Shipyard and Engineering untuk menaiktaraf fasiliti limbungannya yang melibatkan pelaburan sebanyak RM263 juta," katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Ekspo Minyak dan Gas Asia 2012 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin; Ahli Parlimen Labuan, Datuk Yussof Mahal; Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah, Datuk Raymond Tan Shu Kiah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan, Zainur Abidin Abdullah.

Tambah Muhyiddin, sebanyak RM2.4 bilion pelaburan swasta dijangka diwujudkan di Labuan dalam tempoh beberapa tahun akan datang dengan menghasilkan lebih 3,000 peluang pekerjaan.

Sementara itu, beliau berkata, Johor yang terletak berhampiran Singapura akan mendapat faedah daripada situasi negara jiran yang berhadapan penggunaan bekalan minyak dan gas di tahap maksimum.

Katanya, pada masa ini, Johor berada pada landasan yang betul bersama Singapura dalam merealisasikan hab minyak dan gas pertengahan seperti mana Amsterdam-Rotterdam-Antwerp.

"Kedudukan pelabuhan Johor di laluan-laluan utama dan pelbagai kemudahan diyakini mampu memenuhi pasaran logistik simpanan minyak dan gas di rantau ini.

"Tanjung Bin dan Tanjung Langsat telah berjaya menarik beberapa syarikat petroleum global seperti Vitol, Trafigura, Royal Vopak, MISC dan Dialog untuk menjalankan perniagaan di Johor," katanya.

Tambahnya, cadangan pembangunan kilang penapisan dan Petrokimia Integrasi di Pengerang akan mengubah Selatan Johor kepada hab baru industri pertengahan dan hiliran minyak, gas serta petrokimia.

Dalam pada itu, beliau berkata, berdasarkan kepada permintaan dan pertumbuhan ekonomi semasa, sumbangan daripada industri minyak dan gas kepada negara dijangka mencecah RM81.9 bilion pada 2015.

Katanya, aktiviti huluan dijangka menyumbangkan RM43 bilion manakala, aktiviti hiliran memberi sumbangan sebanyak RM39 bilion pada 2015.

"Signifikan sektor minyak, gas dan tenaga (OGE) tidak boleh dipandang rendah, untuk suku pertama tahun ini OGE telah menyumbang RM82.8 bilion atau 18.4 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar negara," ujarnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment