My Add

Tuesday 30 October 2012

Pemuda UMNO desak AES ditangguh

SHAH ALAM, SELASA, 30 Oktober, 2012: Pemuda UMNO hari ini sebulat suara mendesak kerajaan menangguhkan pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) sehingga kajian menyeluruh dilakukan.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, pihaknya juga berharap mesyuarat Kabinet minggu ini dapat membuat keputusan berhubung perkara itu.

“Pemuda desak kerajaan tangguh AES. Kaji semula," kata beliau, yang juga Ketua Pemuda Barisan Nasional (BN), menerusi Twitternya petang ini.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Exco Pemuda Umno di Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, beliau dipetik Bernama berkata, kajian semula itu perlu bagi mengatasi kelemahan pada pelan pelaksanaan AES sekarang dan memastikan sistem itu mampu berfungsi sempurna mengesan pesalah trafik di negara ini.

"Sistem AES itu sendiri merupakan sistem amat baik, namun hasil maklum balas

akar umbi kami dapati terlalu banyak kelemahan pada pelan pelaksanaan AES yang perlu diatasi antaranya lokasi dan had laju praktikal bagi sesebuah kawasan,” katanya.

Khairy berkata kerajaan juga perlu mengadakan publisiti dan pendidikan umum

bagi memberikan informasi yang lebih jelas kepada rakyat.

"Adalah penting untuk rakyat memahami dengan jelas sistem AES ini kerana ia
mampu menyelamatkan nyawa mereka selain mengelakkan AES menjadi 'alat mainan' pembangkang untuk menakut-nakutkan rakyat," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Pemuda.

Semalam, empat Kerajaan Negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sebanyak 331 kamera AES dicadang untuk dipasang di empat negeri itu, namun pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan.

"Kami akan bertemu Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Long See Wool bulan depan bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai AES termasuk kos dan syarikat pengendali," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Guan Eng berkata, pemasangan AES itu seharusnya mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu.

AES adalah sistem kamera automatik berteknologi tinggi yang dipasang di lokasi yang dikenal pasti sering berlaku kemalangan selain bertujuan meningkatkan keberkesanan dan kecekapan sistem penguatkuasaan serta mampu mengurangkan kemalangan maut.

Ia merakam pesalah trafik yang melanggar dua kesalahan utama iaitu memandu melebihi had laju atau melanggar lampu merah.

Dalam pada itu, laporan Bernama berasingan menyebut Kementerian Pengangkutan akan menghantar pasukan teknikal untuk memberi penerangan mengenai AES kepada kerajaan negeri Pulau Pinang dan Selangor seperti dipohon.

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata, setakat ini hanya
kerajaan negeri berkenaan meminta penjelasan berkaitan pelaksanaan AES itu.

Sinar Harian juga melaporkan Cuepacs turut menggesa supaya pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) ditangguhkan ekoran desakan yang diterima daripada kakitangan awam, yang jumlahnya lebih 1.3 juta orang.

Semalam, negeri-negeri Pakatan Rakyat (PR) mendesak tindakan sedemikian manakala Pemuda Umno pula mengambil pendirian yang sama hari ini.

Presiden Cuepacs, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menerima pelbagai aduan daripada kakitangan penjawat awam yang berulang-alikdari rumah ke tempat kerja, termasuk mereka yang bergegas atas arahan majikanmasing-masing.

Beliau juga berkata, sistem AES perlu dikaji semula untuk melihat lokasi yang sesuai diadakan kamera dan perlu ada koordinasi di setiap negeri termasuk negeri-negeri ditadbir PR.

“Bukan negeri ini pasang, negeri itu tak mahu pasang, kita terima desakkan daripada ramai kakitangan awam yang berulang-alik untuk bekerja.

“Kadang-kadang keadaan jalan dilihat selamat, cukup sekadar memasang papan tanda had laju, tanpa perlu adakan AES disebabkan keadaan yang 'clear' tanpa sebarang punca kemalangan.

“Seperti waktu balik kampung sempena perayaan baru-baru ini, dari Kuala Lumpur ke Melaka memamakan masa hampir enam jam disebabkan pemandu yang berhati-hati dengan perangkap had laju (AES) itu, ini membuang masa," katanya kepada Sinar Harian Online hari ini.

Mengulas lanjut, Omar berkata, AES adalah perkara yang barudan sepatutnya rakyat perlu diberi taklimat terlebih dahulu sebelum perlaksanaannya dikuatkuasakan.

Katanya, Cuepacs telah minta Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengadakan lawatan kerja bersama pihaknya di tempat operasi sistem pemasangan AES tersebut.

Selain itu, beliau menggesa keras kerajaan supaya mengkaji semula sistem pemasangan AES di setiap lokasi dan jika tiada tindakan, Cuepacs akan bertindak mengedarkan soal selidik kepada rakyat, pekerja dan pengguna jalan raya.

“Kita akan bertindak sekiranya pihak bertanggungjawab enggan mengambil tindakan terhadap gesaan kita, kita akan buat sendiri soal selidik '3 in 1' di kalangan rakyat, pekerja dan pengguna jalan raya.

"Melalui soal selidik itu, kita akan tanya sama ada mereka setuju dengan pemasangan AES atau pun tidak," katanya lagi.

Dalam pada itu, Omar juga melahirkan keraguan tentang matlamat pemasangan AES di negara ini kerana kegagalan pihak terlibat memberi taklimat termasuk pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), kakitangan kerajaan dan rakyat.

No comments:

Post a Comment