Rakyat Malaysia jangan panik - Anifah Aman
KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Kementerian Luar meminta semua pihak tidak panik atau membuat sebarang spekulasi yang boleh memudaratkan kestabilan negara berhubung penahanan dua rakyat Malaysia di Lebanon minggu lepas.
Menterinya, Datuk Seri Anifah Aman berkata, orang ramai tidak harus terus membuat kesimpulan terhadap penahanan itu yang masih dalam proses penyiasatan dan perbicaraan mahkamah.
"Jangan panik dahulu, jangan buat spekulasi bukan-bukan sehingga negara berdepan dengan keadaan yang tidak aman. Kita harus tunggu keputusan perbicaraan.
"Selagi mahkamah belum membuktikan penglibatan mereka dengan kumpulan pengganas itu, kita jangan buat sebarang kesimpulan sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Minggu lepas, dua rakyat Malaysia, Rafik Mohammed Ariffin, 28, dan Mohammed Razin Shaaban, 21, ditahan di Beirut oleh pihak berkuasa negara itu selepas disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas al-Qaeda. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment