My Add

Tuesday 30 October 2012

Kaedah pembelian drama dikaji semula

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan akan mengkaji semula kaedah atau garis panduan dalam proses pembelian drama daripada syarikat penerbitan tempatan.

Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf berkata, satu mesyuarat bersama menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim akan diadakan bagi membincangkan perkara itu tidak lama lagi.

Katanya pada masa ini, harga pembelian bagi program televisyen, dibayar mengikut kualiti yang dinilai oleh panel penilaian dan diluluskan oleh Jabatan Perbendaharaan.

Kadar yang ditetapkan bagi sebuah telemovie adalah antara RM100,000 hingga RM150,000 manakala bagi drama bersiri pula antara RM40,000 hingga RM45,000.

"Kalau kualiti daripada hasil panel penilai, kita biasanya bagi harga antara RM100,000 hingga RM120,000 untuk telemovie.

"Selain itu, kerajaan juga memperkenal insentif di mana kalau rating dan kualiti tinggi, kita bagi insentif 10 hingga 15 peratus daripada harga yang ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) 2012 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai rungutan isu bayaran murah oleh stesen televisyen yang ditimbulkan Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) baru-baru ini. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment