My Add

Wednesday 31 October 2012

Malaysia bukan pangkalan rekrut pengganas

KUALA LUMPUR, rabu, 31 oKTOBER, 2012: Malaysia bukan sarang bagi kegiatan merekrut pengganas di rantau ini, demikian tegas Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini.

"Pengganas ini bergerak bukan sahaja di Malaysia tapi ke negara-negara Timur Tengah. Mereka boleh direkrut di mana-mana sahaja kesan daripada globalisasi dan teknologi hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ketika diminta mengulas perkembangan penahanan dua rakyat Malaysia di Lubnan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan al-Qaeda 18 Oktober lalu.

Hishammuddin sebelum itu menghadiri mesyuarat Pasukan Petugas Penyampaian (DTF) ke-22 Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai jenayah, di bangunan Parlimen.

Hishammuddin berkata isu keganasan merupakan realiti global dan pihak kementerian sentiasa berusaha untuk memastikan aktiviti pengganas tidak menjadi ancaman kepada keselamatan negara.

Katanya hasil kerjasama dan perkongsian maklumat dengan agensi perisikan antarabangsa mendedahkan terdapat pengganas yang keluar masuk negara ini.

Namun, katanya, kebimbangan terhadap ancaman kegiatan pengganas di negara ini tidak perlu kerana hasil siasatan mendapati mereka tidak pernah meletakkan Malaysia sebagai sasaran.

"Ia (siasatan) lebih menumpukan kepada kaitan rakyat Malaysia dengan pengganas kerana merupakan fenomena yang perlu kita teliti dan pantau secara dekat dan ia membuktikan bahawa dunia tanpa sempadan hari ini dan perjalanan manusia, wang ringgit dan maklumat sebenarnya membawa ancaman yang begitu serius kepada semua negara, bukan sahaja kepada Malaysia,"

Hishammuddin berkata apa yang perlu dibimbangkan ialah penglibatan pengganas melalui jenayah transnasional seperti penyeludupan dadah, penggubahan wang haram dan pemerdagangan manusia.

"Ekonomi gelap, dana haram (jenayah rentas negara) jika jatuh ke tangan pengganas, maka kewangan mereka akan terlalu besar hingga kita berdepan dengan perang terhadap keganasan," katanya.

Selain itu, katanya, akta baru yang menggantikan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) turut mempunyai peruntukan bagi menangani aktiviti pengganas.

Beliau berkata usaha juga sedang dilakukan untuk memantapkan hubungan kerjasama dengan agensi antarabangsa seperti Agensi Perisikan Pusat (CIA) serta pihak perisikan India, Pakistan termasuk China bagi membendung aktiviti pengganas.

Mengenai perkembangan terkini penahanan dua rakyat Malaysia itu, beliau berkata kedua-dua mereka berada di bawah pemantauan dan risikan pihak berkuasa sejak setahun lalu.

"Namun kita (pihak berkuasa) tidak boleh umumkannya terlalu awal kerana kita perlu mengumpulkan maklumat yang mencukupi," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment