My Add

Wednesday 31 October 2012

Tentera Syria lancar 60 serangan

 *GAMBAR dikeluarkan agensi berita SANA, menunjukkan orang ramai berkumpul
di lokasi letupan di Damsyik, Syria, kelmarin. - AFP
DAMSYIK, SELASA, 30 Oktober, 2012: Tentera Syria melancarkan lebih 60 serangan udara di beberapa lokasi di seluruh negara ini semalam, pada hari terakhir gencatan senjata sempena Hari Raya Aidiladha.

Pengarah Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia, Rami Abdel Rahman berkata, serangan terbaru itu merupakan antara yang terburuk sejak konflik tercetus di negara ini 19 bulan lalu.

"Serangan hari ini merupakan yang paling buruk pernah dilancarkan. Tentera Syria kelihatan seperti mahu meraih kemenangan segera sehingga hampir kesemua kawasan (kubu pemberontak) diserang," katanya.

Serangan tersebut diikuti ledakan dua bom kereta dengan letupan pertama berlaku di Jaramana, di luar Damsyik, yang mengakibatkan 11 orang maut dan berpuluh anggota tentera cedera.

Letupan kedua berlaku beberapa jam kemudian di selatan daerah al-Hajar al-Aswad, yang mengundang pertempuran hebat antara kedua-dua pihak, namun angka korban tidak dilaporkan.

Di Moscow, Rusia, Utusan Khas Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Liga Arab, Lakhdar Brahimi berkata, serangan terbaru itu meletakkan konflik di Syria menjadi bertambah meruncing.

"Saya sudah menegaskan berulang kali, krisis di Syria sangat berbahaya dan situasi sekarang semakin buruk dan meruncing," katanya selepas mengadakan perbincangan dengan Menteri Luar Rusia, Sergei Lavrov di Moscow, semalam mengulas mengenai krisis di Syria.

Beliau dijangka mengunjungi China selepas ini bagi membincangkan isu yang sama.

Dalam perkembangan lain di Syria, pemberontak mengakui mereka menerima bekalan senjata daripada ejen kerajaan.

Memandangkan negara Barat menolak untuk membekalkan senjata kepada mereka, ejen itu merupakan jalan terakhir bagi mereka mendapatkan bekalan senjata untuk terus berjuang, kata Mejar Abu Mahar, yang mendakwa mengetuai kira-kira 200 ahli dalam misi khas menentang pasukan tentera Presiden Bashar al-Assad.

"Kami membelinya daripada perisik Assad di pasaran gelap," katanya. - AFP/DPA
 

No comments:

Post a Comment