Pahang sambut baik wang ihsan
KUANTAN, SELASA, 30 Oktober, 2012: Pahang menyambut baik langkah Kerajaan Persekutuan memberi wang ihsan sekitar RM100 juta setahun kepada negeri ini berikutan penemuan rizab minyak tambahan di medan minyak Bertam, kira-kira 160 kilometer di luar pesisiran pantai Semenanjung Malaysia.
Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, kerajaan negeri akan menggunakan wang ihsan itu sebaik mungkin.
Kita tidak akan membazirkan wang ihsan yang diberikan oleh kerajaan. Jadi kerajaan negeri akan membina lebih banyak projek- projek yang boleh memberi manfaat kepada rakyat.
Oleh itu saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan pemberian wang ihsan ini dan membuktikan bahawa Kerajaan Persekutuan adil kepada semua negeri," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Kecemerlangan kokurikulum Negeri Pahang 2012 di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Najib hari ini mengumumkan penemuan rizab minyak tambahan hasil usahasama Petronas Carigali Sdn. Bhd. dan Lundin Oil di medan minyak Bertam yang terletak di Blok PM 307.
Pengeluaran minyak tersebut dijangka dibuat pada suku ketiga tahun 2014 dengan sasaran pengeluaran berjumlah antara 17,500 hingga 20,000 tong sehari. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment