My Add

Wednesday 31 October 2012

3 pekerja ladang warga Indonesia maut

KUANTAN, RABU, 31 Oktober, 2012: Tiga lelaki warga Indonesia maut manakala tiga lagi parah selepas lori yang dinaiki sepuluh pekerja ladang kelapa sawit terbabas ke dalam longkang di Jalan Ladang Timur Oil Palm dekat Maran, semalam.

Ketua Jabatan Ketenteraman Awam dan Trafik Pahang, Supritendan Mohamed Fauzi Abdul Rahim berkata, mangsa yang maut dikenali sebagai Mansur, 31, Badrul, 39, dan Nasrudin, 39, manakala rakan mereka yang parah ialah Zanwadi, 26, Ahyar, 26, serta Rosedi Suhaidi, 28.

Beliau berkata, mangsa yang parah kini dirawat di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (Hoshas).

Mohamed Fauzi berkata, dalam kejadian pukul 5.40 petang itu, semua pekerja ladang berkenaan yang merupakan warga Indonesia duduk di bahagian belakang lori dan dalam perjalanan pulang ke rumah kongsi di kawasan berhampiran.

"Sampai tempat kejadian, ketika menuruni bukit, tiba-tiba brek lori yang dinaiki mereka gagal berfungsi menyebabkan pemandunya hilang kawalan,” katanya.

Beliau berkata, situasi itu menyebabkan lori yang dinaiki mereka terbabas ke kiri jalan sebelum jatuh ke dalam longkang menyebabkan tiga mangsa mati di tempat kejadian manakala tiga lagi cedera parah di kepala dan badan.

"Pemandu bersama tiga lagi penumpang hanya mengalami cedera ringan dan mereka dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hoshas,” katanya sambil menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — BERNAMA

No comments:

Post a Comment