My Add

Tuesday 30 October 2012

Dua warga kita nafi militan al-Qaeda

KUALA LUMPUR, 30 Oktober, 2012: Dua rakyat Malaysia yang ditahan di Beirut minggu lalu, dihadapkan ke Mahkamah Tentera Lubnan semalam, atas tuduhan menganggotai kumpulan al-Qaeda.

Mohamad Razin Shahar Mustapha Kamal, 21, dan Razif Mohamad Ariffin, 28, mengaku tidak bersalah terhadap tuduhan itu sebaik mereka dibawa ke mahkamah berkenaan pada jam 10 pagi (4 petang waktu tempatan).

Bagaimanapun, hakim menangguhkan kes itu untuk disebut semula esok bagi membolehkan kedua-dua tertuduh mendapatkan khidmat peguam bela.

Mahkamah juga membenarkan permohonan bapa Razif, Mohamad Ariffin Abdullah untuk menemui anaknya selama setengah jam sebelum kedua-dua tertuduh di bawa ke Pusat Tahanan Tribunal Tentera Beirut.

Duta Besar Malaysia ke Lubnan, Ilango Karuppannan, berkata hakim yang mendengar kes itu memerintahkan supaya mereka mendapatkan khidmat peguam bagi membela mereka.

Katanya, pihak kedutaan sudah mengenal pasti sebuah firma guaman di Beirut dan sedang mengkaji fakta kes itu.

Ilango berkata, beliau sudah menghantar dua pegawai kedutaan untuk menemui kedua-dua tertuduh di pusat terbabit.

Minggu lalu, pihak berkuasa Lubnan menahan tertuduh di sebuah hotel di Beirut kerana dipercayai menganggotai kumpulan yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Ariffin ketika dihubungi berkata, beliau sempat bertanyakan mengenai keadaan kesihatan anaknya selain mendapatkan maklumat lanjut sama ada diseksa semasa berada dalam tahanan.

Katanya, beliau juga masih menunggu maklumat lanjut berhubung penahanan anaknya itu namun enggan mengulas lanjut mengenai tuduhan terhadapnya.

Saya minta mana-mana pihak agar dapat memberikan saya sedikit masa dan ruang bagi mengikuti proses tuduhan ke atas anak saya dan buat masa ini saya tidak dapat mengulas dakwaan terhadap Razif, katanya yang dihubungi sejurus selesai mengikuti proses pertuduhan di mahkamah.

Ibu Mohamad Razin, Sharifah Asma, berkata dia tidak tahu bagaimana anaknya boleh ditahan atas kesalahan menganggotai kumpulan al-Qaeda.

Anak saya tinggal di Melaka dan menuntut di sebuah kolej di Trolak dan sementara saya dan suami menetap di Putrajaya, saya sering berhubung dengan anak saya namun, kami tidak mengetahui pembabitannya dalam kumpulan itu,

Sementara itu, Pengarah Jabatan Petugas Khas dan Antipengganas Bukit Aman, Datuk Mohamad Fuzi Harun, berkata pihaknya sentiasa memantau pergerakan rangkaian kumpulan pengganas yang mempunyai kaitan dengan al-Qaeda.

Kita tak menerima maklumat mengenai rangkaian al-Qaeda di sini, namun tidak menolak kemungkinan adanya aktiviti merekrut rakyat tempatan menganggotai kumpulan itu di negara jiran.

Kita juga memantau kenalan kedua-dua rakyat Malaysia itu bagi mengesan sebarang maklumat atau aktiviti mencurigakan, katanya.

Mohamad Fuzi berkata, pihaknya masih menunggu laporan lengkap pihak berkuasa di Lubnan mengenai penahanan itu. - BH

No comments:

Post a Comment