My Add

Wednesday 31 October 2012

Kedutaan di AS gerak jawatankuasa urus bencana

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 20`2: Kedutaan Besar Malaysia di Amerika Syarikat menggerakkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Alam bagi memantau perkembangan Taufan Sandy dan kesannya kepada rakyat Malaysia di kawasan terjejas.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata terdapat kira-kira 1,500 rakyat Malaysia di kawasan yang terjejas akibat taufan itu iaitu Washington, Maryland dan Virginia.

"Kira-kira 1,200 pelajar juga berada di kawasan terjejas. Jabatan Pelajar (kedutaan) telah berhubung dengan Pejabat Pelajar Antarabangsa di universiti-universiti di kawasan itu untuk memastikan tindakan sewajarnya diambil bagi memastikan keselamatan pelajar kita.

"Kedutaan Besar Malaysia di Washington dan Konsulat Jeneral Malaysia di New York melaporkan tidak menerima apa-apa laporan rakyat Malaysia dalam bahaya," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata hanya satu keluarga Malaysia terkandas di Lapangan Terbang LaGuardia dan mereka kini ditempatkan di sebuah hotel di Queens.

"Semua rakyat Malaysia yang lain, termasuk pelajar, adalah selamat," katanya.

Anifah berkata Kedutaan Besar Malaysia di Washington DC ditutup pada Isnin lepas ekoran pengisytiharan keadaan kecemasan di Washington.

"Semua warganegara Malaysia telah dinasihatkan untuk menjaga keselamatan diri dan sentiasa berwaspada terhadap amaran taufan dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

"Wisma Putra akan terus memantau perkembangan taufan tersebut dan memaklumkan sebarang perkembangan terkini," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment