My Add

Wednesday 31 October 2012

NLFCS diperintah bayar ganti rugi RM2.02 juta

KUALA LUMPUR, RABU, 31 Oktober, 2012: Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad (NLFCS) membayar RM2.02 juta sebagai ganti rugi kepada sebuah syarikat pengurusan projek selepas didapati melanggar kontrak melibatkan sebuah projek perumahan di Sungai Petani, Kedah.

Jumlah ganti rugi itu dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar, Mohd. Khairi Haron di dalam kamar hari ini.

Pada 28 Mac lalu, Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memerintahkan plaintif dibayar ganti rugi khas RM305,500 dan kos guaman RM70,000 selepas mendapat terdapat alasan munasabah dalam tuntutan Westingmont Holdings Sdn Bhd.

Bagaimanapun, Abdul Aziz membenarkan dua tuntutan balas NLFCS, termasuk berhubung pinjaman RM150,000 yang diperoleh plaintif untuk memindahkan hampir 100 penduduk setinggan di kawasan tanah seluas 5.28 hektar di Kampung Tukang, kira-kira 3 kilometer dari bandar Sungai Petani.

Peguam Ranjit Singh yang mewakili Westingmont memberitahu Bernama timbalan pendaftar juga memerintahkan NLFCS membayar faedah 8 peratus setahun dari tarikh perjanjian, 24 Jan 1999 hinggalah ke tarikh kes itu diselesaikan.

Beliau berkata, mahkamah menilai ganti rugi am itu selepas mengambil kira jumlah keseluruhan jualan projek pembangunan itu seperti yang dinyatakan di dalam pelan susun atur projek yang diluluskan, yang dianggarkan RM16.3 juta dan selepas ditolak jumlah kos pembinaan berjumlah hampir RM13.8 juta.

Plaintif memfailkan tuntutan itu pada Ogos lepas setelah NLFCS memaklumkan kepadanya perjanjian yang ditandatangani pada 1998 untuk memajukan tanah berhampiran bandar yang pesat membangun itu, telah habis tempoh.

Setelah Westingmont berkali-kali mengemukakan tuntutan ganti rugi, NLFCS memaklumkan kepada syarikat itu bahawa pihaknya tidak bersedia untuk membayar sebarang ganti rugi bagi kerja yang telah dilakasanakan.

Berikutan itu, pada 23 Ogos 2010, Westingmont memfailkan saman untuk menuntut ganti rugi khas dan ganti rugi am berjumlah RM8 juta.

Defendan telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu dan Mahkamah Rayuan menetapkan Khamis depan untuk mendengar kes itu. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment