My Add

Tuesday 30 October 2012

Laporan kewangan kerajaan negeri pembangkang mencurigakan

KUALA LUMPUR, SELASA, 30 Oktober, 2012: Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) hari ini meminta Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang untuk menjelaskan jumlah hasil pendapatan kewangan yang diperoleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran pembangkang secara terperinci kerana angkanya meragukan.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Shamsul Anuar Nasarah, berkata sebagai contoh di Pulau Pinang, laporan kewangan Laporan Ketua Audit Negara untuk tahun 2011 negeri itu dipercayai bukan jumlah yang sebenar.

"Dakwaan kerajaan negeri Pulau Pinang sebelum ini yang mengatakan bahawa hutang negeri itu turun kepada kepada RM600 juta adalah tidak tepat kerana jumlah RM600 adalah hutang yang dipindahkan oleh kerajaan pusat kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk urusan berkaitan bekalan air di sana," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen BN dari Ledang, Hamim Samuri, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Lain-lain Ahli Parlimen BN turut menyokong pendapat Shamsul dan menyatakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan laporan kewangan di semua kerajaan negeri di bawah pentabiran pembangkang.

"Difahamkan, kerajaan negeri yang ditadbir pembangkang telah mengubah wang dari Akaun Amanah Disatukan dan mentakrifkannya sebagai hasil kewangan sebenar yang dicatat kerajaan negeri, tetapi sebenarnya wang Akaun Amanah adalah untuk kegunaan seperti memperbaiki jalan, memperbaiki kemudahan awam dan pelbagai perkara yang berkaitan," katanya.

Setiap kerajaan negeri mempunyai Akaun Amanah Disatukan, dana akaun itu akan diperoleh kerajaan negeri atau daripada kerajaan pusat, ia adalah satu daripada Akaun Kumpulan Wang Disatukan di mana semua penerimaan dan pembayaran wang amanah diakaunkan mengikut kehendak akta amanah, suratcara amanah, arahan amanah, undang-undang atau perjanjian," katanya.

Katanya terdapat tiga jenis hasil diperoleh kerajaan negeri iaitu hasil cukai, hasil bukan cukai dan hasil atau bantuan kewangan diterima dari kerajaan pusat.

Shamsul berkata mereka (Ahli Parlimen BN) akan membuat permohonan kepada Ketua Audit Negara untuk mendapatkan maklumat itu pada masa yang terdekat ini untuk mengetahui perkara yang sebenar.

Sementara itu, Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan yang juga Timbalan Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) berkata, kerajaan negeri di bawah pentabiran pembangkang menggunakan pndekatan 'perakaunan kreatif' iaitu memutarbelit fakta.

"Pendekatan creative accounting ini adalah supaya mereka (pembangkang) digambarkan dalam Laporan Ketua Audit Negara sebagai kerajaan negeri yang menguruskan kewangan dengan baik," katanya.

Katanya, kerajaan negeri akan memindahkan dana dari Akaun Amanah negeri dan mencampurkannya dengan akaun kerajaan negeri seterusnya mengisytiharkan sebagai hasil kewangan yang diperolehi mereka tetapi sebenarnya wang itu tidak dijana secara sendiri. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment