My Add

Thursday 29 November 2012

Anwar bukan pengurus ekonomi yang cekap - Najib

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 29 November, 2012: Kepimpinan pembangkang membawa kemusnahan ekonomi negara, menanam benih kebencian di kalangan rakyat dan janji yang tidak ditepati, kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah pengurus ekonomi yang cekap kerana gagal menangani krisis kewangan Asia yang melanda Malaysia pada tahun 1997-1998.

"...terbukti, menteri kewangan ketika itulah orangnya, yang kini, menjadi ketua pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap," kata Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini hari ini.

Katanya tindakan Anwar ketika itu, memotong perbelanjaan pembangunan dan menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun kerana mengguna pakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diketuai sahabat karibnya, mengakibatkan kesengsaraan kepada rakyat, khususnya masyarakat perniagaan.

"Orang ini memang selayaknya digelar sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, beza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam lain pula ceritanya. Semasa bersama kita dalam Umno, caranya sekian, sekarang jadi Ketua Pembangkang, segala pendirian dan fe"elnya berubah pulak.

"Kalau ikut pepatah dulu orang menyebut dia ini lidah bercabang. Jelasnya tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza. Akan tetapi apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dia menyokong pulak...heran," kata Najib.

Beliau turut mempertikaikan janji Buku Jingga yang melibatkan jaminan pendapatan purata bulanan isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000, menghapuskan tol, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional, RM500 sebulan sebagai elaun khas kepada guru, dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri terbabit. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment