My Add

Friday 30 November 2012

Delegasi asing kagum dengan pencapaian UMNO

KUALA LUMPUR, khamis, 29 November, 2012: Delegasi asing ke Perhimpunan Agung UMNO 2012 berkata rakyat Malaysia perlu bersyukur kerana mempunyai UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negara ini yang terbukti mampu membawa banyak kejayaan kepada negara ini.

Mereka mengambil maklum bahawa UMNO dan BN sentiasa komited terhadap proses pembinaan negara Malaysia, membolehkan negara melakar kejayaan memberangsangkan yang membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.

Dalam reaksi kepada ucapan dasar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Perhimpunan Agung UMNO di sini hari ini, seorang wakil dari New Azerbaijan Party, Malahat Ibrahimgizi, berkata Malaysia tidak akan mencapai kestabilan politik dan sosial serta mengekalkan perpaduan tanpa pegangan teguh UMNO terhadap keadilan dan kesamarataan.

"Terbukti bahawa UMNO sememangnya parti yang komited ke arah pembinaan negara dan pengukuhan demokrasi," katanya.

Arthur Fong, dari People"s Action Party, Singapura, berkata UMNO memacu Malaysia sehingga menjadi apa yang disifatkannya sebagai "sebuah negara yang amat dihormati".

Penasihat Agensi Keamanan dan Pengukuhan dari Niger, Diarra Fatimata Ly, berkata ucapan Najib menunjukkan bahawa UMNO telah banyak berjasa kepada Malaysia, dan tiada sebab untuk menggantikan parti itu dengan entiti lain yang belum tentu kemampuannya.

Beliau memberi amaran bahawa Malaysia akan berdepan ketidaktentuan jika negara ini berada di tangan pentadbir yang tidak berpengalaman.

"Bagaimanapun, pemimpin yang mempunyai pengalaman mentadbir negara sehingga melakar banyak kejayaan, anda perlu meletak kepercayaan kepada mereka," katanya.

Sementara itu, wakil dari Lao People"s Revolutionary Party, Thongsy Inthaphonh berkata beliau kagum melihat anggota UMNO mengekalkan kesetiaan kepada parti sejajar dengan moto "Bersatu, Bersetia, Berkhidmat". - BERNAMA

No comments:

Post a Comment